BANNER

BANNER

20080131

Tuan Guru Haji Ibrahim Rembau - Siri 2


02 March 2007

Oleh ZALILA ISA - YADIM

MADRASAH Al-Islamiah Haji Ibrahim telah ditubuhkan pada tahun 1936. Berusia 70 tahun, madrasah ini merupakan satu-satunya madrasah yang tertua dalam daerah Rembau. Madrasah ini telah diasaskan oleh Tuan Guru Haji Ibrahim bin Muhammad Dahan, seorang ulama yang terkenal di Negeri Sembilan (1907-1997). Majlis sambutan ke-70 tahun madrasah ini telah berlangsung pada 16-19 Februari yang lepas. Sambutan ini bukan sahaja mengumpulkan tokoh-tokoh ulama seMalaysia, malah menghimpunkan pelajar-pelajar pondok di seluruh Malaysia di bawah nama Ijtimak Tolabah Pondok SeMalaysia.

Madrasah Al-Islamiah yang menjadi pusat dakwah sejak awal penubuhannya sehingga ke hari ini, secara langsung telah menaikkan nama pengasasnya, iaitu Tuan Guru Haji Ibrahim yang terkenal dengan sifat rendah diri, tawaduk, dan ikhlas dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar-pelajarnya. Bukan sedikit sumbangan Tuan Guru Haji Ibrahim selama 70 tahun penglibatannya dalam aktiviti dakwah sama ada disampaikan melalui madrasah ini ataupun di masjid-masjid dan surau-surau sekitar Negeri Sembilan.

Tuan Guru Haji Ibrahim bin Haji Muhammad Dahan bin Hasan dilahirkan pada tahun 1325 H/ 1907 M, di Kampung Seri Lemak, Rembau, Negeri Sembilan. Sanad keilmuan beliau yang bersangkut-paut dengan Syeikh Ahmad al-Fathani tidak dapat diragui walaupun tahun kelahiran beliau merupakan tahun ‘pemergian’ Syeikh Ahmad al-Fathani.

Tuan Guru Haji Ibrahim telah berguru dengan murid Syeikh Ahmad al-Fathani yang terkenal, iaitu Syeikh Wan Sulaiman bin Wan Shiddiq al-Qad-hi dan juga Tuan Guru Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad (Tok Kenali). Selain itu, beliau juga berguru dengan Haji Ya’qub Legor (Fiqh dan Hadis), Haji Sa’ad Kangkung, Haji Ali Pulau Pisang, Haji Wan Musa (Tasawuf), Haji ‘Umar Sungai Keladi (Falak), HAji ‘Abdullah Thahir, Haji Ahmad Hakim, Haji Ya’qub Lorong Gajah Mati dan Haji Nik Mat Nazhir.

Kitab-kitab Tasawuf yang diajar oleh Tuan Guru Haji Ibrahim disenaraikan seperti yang berikut:

1. Minhaj al-‘Abidin
2. Hikam Ibnu ‘Atha’
3. Ad- Durr an-Nafis
4. Taj al-‘Arus
5. Siyar as-Salikin

Kitab-kitab fiqh dan akidah:

1. Wusyah al-Afrah
2. Mathla’ al-Badrain
3. Daqaiq al-Akhbar
4. Kasyf al-Ghaibiyah
5. Matn al-Jauharah

Semasa berada di Kelantan, beliau telah mempelajari Thariqat Ahmadiyah daripada Haji Wan Musa bin Syeikh Abdush Shamad al-Kalantani Tuan Tabal. Beliau bukan sahaja gigih mengajar malah masih gigih belajar sehingga ke akhir hayatnya. Tidak mustahillah pada tahun 1949 beliau masih belajar kitab al-Ahzab serta menerima amalan Tariqat Ahmadiyah sehingga beliau diijazahkan serta bertauliah pula mengajarkannya.Tuan Guru Haji Ibrahim telah pergi ke Mekah dan menerima ijazah Thariqat Ahmadiyah dari Syeikh Syafi’ie Kedah dan berguru dengan Syeikh Sulaiman Ambon. Selain itu, Tuan Guru Haji Ibrahim juga menerima ijazah Shalawat Dalail al-Khairat.

Semasa berada di Kelantan juga, Tuan Guru Haji Ibrahim telah bertemu jodoh dengan Hajah Esah binti Ujang pada tahun 1933 dan dikurniai 13 orang anak. Setelah gurunya, Tok Kenali meninggal dunia pada 9 November 1933, beliau pulang ke Rembau pada akhir tahun 1935 dan menubuhkan sekolah pondoknya pada tahun 1936.

Seperti tokoh ulama yang lain, Tuan Guru Haji Ibrahim juga tidak terkecuali menghasilkan karya-karya, penulisan risalah ataupun kitab-kitab untuk pedoman dan rujukan pelajar-pelajarnya. Antara penulisan yang dihasilkan oleh beliau ialah:

1. Nur al-Aulad (1939 dan dicetak berulang kali pada 1949, 1952, 1963, 1975, 1989 dan 1991)
2. Taqwim Shalat (1954)
3. Shalah al-Ghilman fi ‘Ibadah Rabb ar-Rahman (1976)

Selain itu, beliau juga bertanggungjawab menyusun takwim solat yang digunakan di Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan beberapa negeri lain yang masih digunakan sehingga ke hari ini.

Berbicara mengenai Tuan Guru Haji Ibrahim, tidak banyak yang dapat dibongkar memandangkan beliau seorang yang merendah diri dan bersifat tidak menonjolkan diri di khalayak ramai.

Menurut Ustaz Fuad bin Kamaludin yang merupakan murid dan tenaga pengajar di Madrasah Al-Islamiah ini, Tuan Guru Haji Ibrahim bukanlah tergolong dalam golongan guru biasa. Tidak keterlaluan jika dikatakan Tuan Guru Haji Ibrahim merupakan seorang ‘murobbi’ dan ‘mursyid’ yang mengamalkan apa yang dituturkan. Sifat berhati-hati yang ada pada Tuan Guru juga tidak dapat diperlekehkan terutama dalam hal-hal yang berkaitan dengan kebersihan dan seterusnya membawa kepada aspek ketaatan dalam beribadah. Tuan Guru Haji Ibrahim juga taat mengamalkan solat sunat tahajud dan solat sunat dhuha dan yang paling penting beliau tidak pernah mengabaikan solat berjemaah terutama bersama isteri dan anak-anaknya.

Kegigihan Tuan Guru Haji Ibrahim dalam menyebarkan dakwah Islamiah juga tidak perlu dipertikaikan. Walaupun beliau tidak banyak mengembara ke serata negeri untuk mengajar, ketekunan dan keikhlasannya mengajar di surau-surau atau masjid-masjid di beberapa daerah di Negeri sembilan tidak boleh dipandang sebelah mata. Antara masjid yang menjadi persinggahan beliau dalam usaha menyebarkan dakwah Islamiah ialah Masjid Tanggai Johol, Masjid Bandar Gemas, Masjid di daerah Rembau dan daerah-daerah lain. Amanah yang dipikul dilaksanakan sebaiknya. Walaupun jumlah pelajar yang hadir di masjid hanya tiga orang, beliau tetap bersungguh menyampaikan kuliah tanpa mengenal erti kepenatan.

Ketertiban dan ketaatan Tuan Guru Haji Ibrahim dalam mengerjakan ibadah dan menyampaikan dakwah kepada pelajar-pelajarnya amat dikagumi. Hasil dari didikan dan sifat peribadinya itu tidak hairan sebilangan besar pelajarnya berjaya dalam pelajaran dan berkhidmat dengan kerajaan dan masyarakat sebagai imam, bilal, penceramah bebas dan juga pegawai-pegawai agama.

Tuan Guru Haji Ibrahim adalah antara ulama di Rembau yang berjaya menaikkan nama Rembau sebagai salah sebuah tempat yang aktif dengan aktiviti dakwah. Keupayaan dan kesungguhan beliau menubuhkan madrasah untuk anak watan Rembau memberi kesan yang besar dalam sistem pendidikan beragama anak-anak watan Rembau khasnya, Negeri Sembilan amnya.

Walaupun telah berusia 70 tahun, madrasah Al-Islamiyah masih tetap menjalankan aktiviti-aktivitinya secara terus-menerus sehingga ke hari ini. Kelas pengajian hari Rabu yang dimulakan oleh Tuan Guru Haji Ibrahim pada sekitar tahun 1970-an masih berjalan sehingga ke hari ini.

Tuan Guru Haji Ibrahim meninggal dunia pada 3 Ogos 1997. Madrasah Al-Islamiah yang didirikan di atas tanah kepunyaan Tuan Guru Haji Ibrahim dengan perbelanjaan sendiri dan derma dari orang ramai masih berfungsi dengan baik demi meneruskan cita-cita dan usaha murni Allahyarham tuan guru. Kini, madrasah tersebut telah diteruskan oleh cucu Allahyarham sendiri, iaitu Al-Fadhil Ustaz Haji Mohd Khairuddin bin Haji Yusoff.

Pada hari ini, madrasah ini masih berfungsi sebagai pusat kegiatan agama yang aktif. Di samping kelas dewasa, kelas-kelas Fardu Ain untuk kanak-kanak juga masih bergerak sejak tahun 1957. Sehingga kini, madrasah ini dikenali dengan nama Sekolah Rendah Agama Rakyat Haji Ibrahim.