BANNER

BANNER

20141121

PERATURAN , UNDANG-UNDANG DAN AKTIVITI MADRASAH ISLAMIAH TUAN GURU HAJI IBRAHIM



Rujukan kami  : Bil. (1 ) dlm MIB /PERATURAN/ 2014
Tarikh              : 20 November 2014

Assalamualaikum wrh. wbt.

Daripada         :
Jawatankuasa Madrasah Islamiah Haji Ibrahim,Kampung Bongek Acheh,71300 Rembau,NS.

Kepada            :
Ibu bapa / Penjaga Pelajar-Pelajar Madrasah Islamiah Haji Ibrahim.


Tuan/Puan,                                                                                                                 

PERATURAN , UNDANG-UNDANG DAN AKTIVITI MADRASAH ISLAMIAH TUAN GURU HAJI IBRAHIM, KAMPUNG BONGEK ACHEH, 71300 REMBAU, NEGERI SEMBILAN

Diucapkan ribuan terima kasih kerana sudi memilih madrasah ini untuk mendidik anak-anak di bawah jagaan tuan/puan.Terima kasih juga diucapkan kerana memberi kerjasama kepada pihak madrasah demi memastikan kemajuan agama dan pelajaran anak-anak.

Berikut adalah peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak madrasah dan diharapkan tuan/puan bersama-sama pihak madrasah dapat memastikan perlaksanaan dan keberkesanannya.Sebarang kekurangan pada peraturan ini, diharapkan tuan/puan dapat memberikan buah fikiran dan cadangan yang bersesuaian demi kebaikan anak-anak didik di sini.

1.  YURAN DAN TUNGGAKAN
Yuran Pendaftaran(sekali sahaja) : RM 150(Tahfiz dan Fardhu Ain) RM 200 (Kitab) (meliputi buku pembelajaran, peralatan kelas, kemudahan asrama,permainan dan lain-lain yang berkaitan )
Yuran Bulanan : RM 200 (meliputi makan minum pelajar,tempat tinggal,elektrik dan air serta saguhati guru dan tukang masak)-bagi ibu bapa dan penjaga yang tidak berkemampuan, sila jumpa pengurusan madrasah bagi menentukan yuran yang bersesuaian.

Diminta jasa baik tuan-puan menyelesaikan yuran bulanan anak-anak jagaan sebelum 10hb pada setiap bulan.Sebarang kelewatan bayaran adalah diharap dapat diselesaikan dengan segera.Sekiranya tuan-puan mengalami masalah kewangan, diharapkan tuan-puan tidak segan untuk bertemu pihak pengurusan madrasah untuk berbincang mengenainya.

2.  WANG BELANJA PELAJAR
Sekiranya, tuan-puan memberi wang belanja kepada anak-anak jagaan, hendaklah dipastikan bahawa wang belanja itu tidak melebihi RM50 untuk tempoh sebulan, atau RM20 untuk untuk tempoh 2 minggu.Pihak madrasah tidak akan bertanggungjawab di atas kehilangan dan kecurian yang berlaku akibat membawa wang belanja yang banyak.Sekiranya tuan-puan memberi wang yuran kepada anak-anak untuk diserahkan kepada pihak madrasah,hendaklah memaklumkan kepada pihak pengurusan madrasah melalui telefon atau sms terlebih dahulu untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

3.  BARANGAN LARANGAN
Pelajar-pelajar tidak dibenarkan sama sekali untuk membawa atau menyimpan di kawasan madrasah barang-barang berikut : telefon bimbit, walkman dan seumpamanya, senjata,permainan video,majalah dan seumpamanya dan lain-lain barang yang tidak bersesuaian di kawasan madrasah.

4.  PAKAIAN
Para pelajar yang mengikuti pengajian di Kelas Tahfiz dan Kelas I’dadi(Kitab dan Bahasa Arab) adalah diwajibkan memakai jubah putih dan serban putih semasa menghadiri kelas,majlis rasmi dan solah berjemaah(selain Zuhor Sabtu Hingga Asar Ahad).Adapun para pelajar ibtidai(Fardhu Ain) adalah dibenarkan memakai sebarang pakaian yang bersesuaian pada setiap masa. Para pelajar adalah dilarang memakai pakaian yang menjolok mata,tidak menutup aurat,ketat,nipis,bergambar dan lain-lain aspek yang tidak bersesuaian.

5.  BARANG-BARANG PERIBADI PELAJAR
Para pelajar hendaklah memberi tanda yang bersesuaian pada barang-barang kepunyaan mereka (pakaian,buku, alat tulis, alat mandi dan membasuh dll) supaya mudah dikenal pasti.Para pelajar juga hendaklah menyimpan barang-barang mereka di tempat yang telah ditentukan sahaja.Para pelajar hendaklah bertanggungjawab terhadap barang-barang kepunyaan mereka dan tidak membiarkannya berada merata-rata sehingga rosak atau hilang.

6.  HARTA MADRASAH
Para pelajar hendaklah menggunakan segala kemudahan di madrasah dengan berhemah dan bertangungjawab demi kebaikan bersama. Begitu juga, para pelajar dikehendaki menjauhi sifat membazir dalam mengunakan kemudahan air, elektrik dan lain-lain. Mana-mana pelajar didapati merosakkan harta madrasah dengan sengaja, mereka akan dikenakan tindakan tatatertib dan menggantikan semula barang yang telah dirosakkan.Sekiranya berlaku dengan tidak sengaja, maka diminta menggantikannya sahaja tanpa dikenakan tindakan tatatertib.

7. MASA MELAWAT
Ibu bapa dan penjaga hanya dibenarkan untuk melawat dan membawa keluar pelajar  pada waktu-waktu berikut :

Setiap Minggu Kedua dan Keempat sahaja:
Sabtu :02.00 pm – 7.00 pm
Ahad :11.00 am -  7.00 pm

*Selain ibu bapa dan penjaga pelajar yang ingin membawa keluar pelajar, maka hendaklah menyerahkan surat kebenaran bertulis daripada ibu bapa dan penjaga pelajar kepada pihak pengurusan madrasah.
*pelajar hanya boleh menghubungi ibu bapa dan penjaga menggunakan telefon awam yang disediakan pada hari Sabtu dan Ahad bagi selain kes kecemasan(kes-kes kecemasan hendaklah dirujuk terlebih dahulu oleh pelajar kepada ustaz yang ada untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini).

8.  BALIK BERMALAM DI RUMAH
Para pelajar hanya dibenarkan balik bermalam di rumah pada masa yang telah ditetapkan oleh pihak madrasah sahaja.Para pelajar hanya dibenarkan untuk bermalam di rumah pada selain waktu yang telah ditetapkan oleh pihak madrasah untuk kes-kes berikut :
a.  Kematian – melibatkan ibu bapa,datuk dan nenek,adik-beradik dan anggota keluarga yang rapat dengan pelajar sahaja.
b.  Sakit Tenat - melibatkan ibu bapa,datuk dan nenek serta adik-beradik dan anggota keluarga yang rapat dengan pelajar sahaja.
c.  Kenduri – kenduri di rumah sendiri dan di rumah datuk nenek sahaja.
d.  Menerima rawatan penyakit
e.  Lain-lain kemaslahatan yang difikirkan perlu oleh pihak pengurusan madrasah,

*Selain ibu bapa dan penjaga pelajar yang ingin membawa pulang pelajar, maka hendaklah menyerahkan surat kebenaran bertulis daripada ibu bapa dan penjaga pelajar kepada pihak pengurusan madrasah.

9.  CUTI
Bagi pelajar-pelajar Tahfiz dan I’dadi,cuti sepanjang tahun adalah seperti berikut :
Cuti Raya Puasa: 16 hari
Cuti Raya Haji            :  9 hari
Cuti Maulidurrasul :  9 hari
Cuti Hujung Jamadil Akhir :  9 hari               
Jumlah : 43 hari

• Adapun cuti bermalam,akan dimaklumkan oleh pengurusan madrasah kepada pihak ibu bapa dan penjaga melalui jadual cuti yang akan ditampal di papan kenyataan madrasah.
• Pihak madrasah juga akan memberi cuti, sekiranya pihak pengurusan mendapati perlu untuk dicutikan pelajar berdasarkan keadaan atau keperluan yang tertentu.

Adapun bagi pelajar Ibtidai, cuti mereka adalah sama atau lebih kurang dengan cuti sekolah kebangsaan sepanjang tahun.Ibu bapa dan penjaga akan dimaklumkan sekiranya ada cuti tambahan diperlukan atau pengurangan cuti.Sila rujuk jadual cuti yang dipamerkan di papan kenyataan madrasah.

10.  WAKTU BERURUSAN
Sebarang urusan dengan pihak madrasah,para ibu bapa dan penjaga pelajar diminta menghubungi terlebih dahulu pihak pengurusan madrasah. Pihak madrasah akan memberikan waktu yang bersesuaian untuk menyelesaikan urusan tersebut.

Secara Umum waktu urusan yang digalakkan adalah pada :

Isnin hingga Jumaat  :
10 pagi hingga 12 tengahari
5.15 petang hingga 6.15 petang

Sabtu dan Ahad :
9 pagi hingga 11 pagi
2 petang hingga 3.30 petang
5.15 petang hingga 6.15 petang

11.  DISIPLIN
Para pelajar hendaklah sentiasa berpakaian yang sesuai dan menutup aurat semasa dalam kawasan madrasah dan di luar madrasah. Para pelajar juga dikehendaki bersopan-santun dan bertutur menggunakan perkataan yang berhemah dan sopan serta menjauhi maki hamun, mencarut, menjerit-jerit, menganggu ketenteraman pelajar lain dan seumpamanya.Dasar hormat-menghormati sesama pelajar, dengan guru, ibu bapa dan orang awam mestilah menjadi pegangan para pelajar setiap masa.

Pelajar hendaklah sentiasa mematuhi jadual kelas yang telah ditetapkan dan berada dalam kelas 5 minit sebelum pembelajaran bermula. Ketua Kelas hendaklah mencari guru yang terlibat sekiranya guru masih tidak hadir selepas 10 minit waktu kelas berlalu. Sekiranya tidak dijumpai guru terbabit, maka hendaklah dilaporkan kepada Mudir Madrasah atau pembantunya secepat mungkin.

Adalah menjadi kesalahan, sekiranya pelajar berada di tempat lain pada waktu kelas sedang berjalan tanpa pengetahuan guru yang mengajar. Selain jadual kelas, pelajar juga hendaklah mematuhi jadual waktu solah berjemaah serta jadual aktiviti-aktiviti yang telah ditetapkan oleh pihak madrasah.

12.  KESALAHAN DISIPLIN
Pelajar yang didapati melakukan kesalahan disiplin akan dikenakan hukuman seperti berikut :
Ketuk ketampi: tidak melebihi 150 kali dalam sehari
Rotan  : tidak melebihi 3 kali dalam sehari
Khidmat Kebersihan   : tidak melebihi 3 hari dalam seminggu

Bagi kesalahan-kesalahan berat seperti merokok, hidu gam, pil kuda, ecstacy dan seumpamanya, membuli, memukul pelajar lain, bergaduh, cabul/liwat, keluar kawasan madrasah tanpa izin dan lain-lain, hukumannya adalah seperti berikut :
KESALAHAN PERTAMA   : 3 KALI ROTAN DAN DIMAKLUMKAN KEPADA IBU BAPA ATAU PENJAGA ATAU BUANG MADRASAH JIKA PERLU
KESALAHAN KEDUA       :  4 KALI ROTAN DAN TIDAK DIIZIN PULANG KE RUMAH DAN OUTING SELAMA 3 BULAN SERTA TIDAK DIIZIN MEMEGANG WANG BELANJA SENDIRI ATAU BUANG MADRASAH JIKA PERLU
KESALAHAN KETIGA       :  5 KALI ROTAN DAN TIDAK DIIZIN PULANG KE RUMAH DAN OUTING SELAMA SETAHUN (PENJAGA BOLEH BERJUMPA SEBULAN SEKALI SAHAJA) SERTA TIDAK DIIZIN MEMEGANG WANG BELANJA SENDIRI ATAU BUANG MADRASAH JIKA PERLU
KESALAHAN KEEMPAT   : BUANG MADRASAH

13. SAKIT
Pelajar atau rakan pelajar hendaklah melapurkan kepada ustaz yang ada sekiranya sakit atau demam. Pelajar akan diberikan ubat atau rawatan ringan di madrasah sahaja sekiranya kes tersebut tidak berat. Sekiranya pihak madrasah mendapati kes tersebut perlu dirujuk ke klinik atau hospital, kesegeraan tindakan menghantar akan dilakukan mengikut keseriusan sakit yang dialami. Ibu bapa atau penjaga hendaklah menyediakan dokumen salinan (kad pengenalan atau surat beranak) bagi pelajar untuk disimpan oleh pihak madrasah sekiranya dokumen asal tidak ada bersama pelajar untuk urusan pendaftaran hospital. Pihak madrasah akan mendahulukan segala pembayaran jika perlu, dan hendaklah diganti semula selepas itu oleh ibu bapa atau penjaga.

Pelajar yang sakit dan demam hendaklah memaklumkan kepada guru kelas dan tidak dibenarkan berada dalam bilik asrama sepanjang kelas berjalan, sebaliknya guru kelas akan memberitahu di mana tempat yang beliau perlu untuk berehat.

14.  KHIDMAT PELAJAR
Sepanjang menuntut di madrasah ini, para pelajar akan diberikan tugasan-tugasan harian yang tertentu untuk dilaksanakan untuk memastikan seluruh kawasan madrasah berada dalam keadaan bersih dan kemas sepanjang pelajar belajar di madrasah ini. Tugasan yang diberikan adalah bersesuaian dan tidak mengganggu waktu belajar dan rehat para pelajar.
Pada setiap hujung minggu, gotong-royong akan dilakukan oleh setiap pelajar berdasarkan arahan yang akan dikeluarkan oleh pihak madrasah. Selain gotong-royong, pemeriksaan bilik dan barang peribadi pelajar juga akan turut diadakan.

Pelajar yang didapati tidak mematuhi tugasan dan rutin yang disebutkan , akan dikenakan tindakan disiplin yang sepatutnya.

15. AKTIVITI LUAR
Sepanjang menuntut di madrasah juga, para pelajar akan terlibat dengan aktiviti luar seperti :
i) Pengajian luar yang difikirkan perlu untuk pelajar turut serta demi mengembangkan pemikiran dan pergaulan pelajar.
ii) Aktiviti bermalam di masjid/surau berhampiran bagi melatih pelajar suasana praktikal ibadah dan bermasyarakat
iii) Menghadiri solat jenazah dan acara pengebumian jenazah
iv) Majlis kahwin, kenduri doa selamat dan tahlil arwah.
v) Lain-lain aktiviti yang difikirkan bersesuaian dan perlu jika ada.

Adalah diharapkan ibu bapa dan penjaga tiada halangan kepada pihak madrasah untuk menjalankan aktiviti-aktiviti tersebut.Sekiranya ada kemusykilan atau halangan daripada pihak ibu bapa dan penjaga, adalah diminta untuk terus berjumpa dengan pihak pengurusan madrasah untuk diselesaikan dengan baik.

16. SUKAN DAN RIADHAH
Pihak madrasah ada menyediakan keperluan-keperluan sukan yang asas seperti padang bola dengan tiang gol berjaring, gelanggang takraw dan badminton beserta net dan meja pingpong berserta net. Begitu juga bola sepak, bola takraw,bola pingpong dan bulu tangkis turut disediakan. Namun demikian, reket badminton, bat ping pong dan lain-lain keperluan sukan hendaklah disediakan sendiri oleh pelajar.Selain permainan luar, madrasah juga menyediakan permainan dalam seperti carom, congkak, catur , SAHIBBA dan dam.
Pelajar-pelajar hendaklah menggunakan dan memelihara kemudahan permainan yang disediakan dengan baik. Sesiapa yang didapati dengan sengaja merosakkan kemudahan permainan yang ada akan dikenakan tindakan disiplin dan mengganti semula kemudahan yang dirosakkan.
Pelajar-pelajar hanya boleh menggunakan kemudahan-kemudahan permainan tersebut pada :
Isnin hingga Khamis : 5.45 petang hingga 6.45 petang
Sabtu dan Ahad: 2.00 petang hingga 6.45 petang
Malam Ahad : 9.30 malam hingga 11.00 malam

17.  SUMBANGAN
Pihak ibu bapa dan penjaga adalah digalakkan untuk memberi sumbangan atau mencari sumbangan untuk kemudahan para pelajar secara khusus atau pembangunan madrasah secara umum. Sumbangan boleh berbentuk wang, makanan, peralatan atau kemudahan. Segala sumbangan tersebut amatlah dihargai oleh pihak madrasah dan didoakan mendapat ganjaran yang setimpal di sisi Allah Taala.

Demikianlah undang-undang, peraturan dan aktiviti di madrasah ini. Undang-undang dan peraturan ini adalah tertakluk kepada perubahan dan penambaikan dari semasa ke semasa. Segala cadangan dan buah fikiran boleh dikemukakan kepada pihak pengurusan madrasah.

Sekian, terima kasih.

JAWATANKUASA PENGURUSAN,
MADRASAH ISLAMIAH HAJI IBRAHIM,
KAMPUNG BONGEK ACHEH,
71300 REMBAU,
NEGERI SEMBILAN.

Program Cuti Sekolah



Peserta hanya 45 orang dan penyertaan telah ditutup

Dimaklumkan Madrasah Islamiah Tuan Guru Haji Ibrahim melaksanakan Program Cuti Sekolah seperti biasa pada tahun ini bermula 30/11/2014, daftar 3 petang hingga 6.00 petang sehingga 27/12/2014, penutup 10 pagi hingga 12 tengahari

Program 4 minggu
Bayaran RM 350, meliputi 4 kali makan, penginapan, tenaga pengajar, penceramah jemputan, aktiviti luar

Pengisian :
1. Mengaji al-Quran
2. Menghafaz al-Quran dan doa
3. Kelas Tauhid dan semakan 
4 Kelas fiqh dan semakan
5. Kelas Adab dan semakan
6. Tazkirah
7 Ceramah motivasi
8.  Kegiatan Luar dan Sukan