Alamat : Bongek Acheh , 71300 Rembau , Negeri Sembilan . Tel : 012-3752240
BANNER
20150514
20150123
20150112
Pengambilan Pelajar Madrasah Islamiah Tuan Guru Haji Ibrahim
Madrasah Islamiah Tuan Guru Haji Ibrahim di Rembau menawarkan
tiga kursus pengajian untuk pengajian pelajar pelbagai peringkat, iaitu :
1. Kelas Ibtidai' : Khusus untuk pelajar yang baru mula
mengenal pengajian Islam
2. Kelas I'dadi : Khusus untuk pelajar yang baru mula
melanjutkan pengajian agama dengan menggunakan Bahasa Arab
3. Kelas Tahfiz : Khusus untuk pelajar yang ingin menghafal
al-Quran
Tempat adalah terhad
Untuk pendaftaran sila hubungi :
Ustaz Khairuddin 012-3752240
Ustaz Faizal 013-2300595
20141121
PERATURAN , UNDANG-UNDANG DAN AKTIVITI MADRASAH ISLAMIAH TUAN GURU HAJI IBRAHIM
Rujukan kami : Bil. (1
) dlm MIB /PERATURAN/ 2014
Tarikh :
20 November 2014
Assalamualaikum wrh. wbt.
Daripada :
Jawatankuasa Madrasah Islamiah Haji Ibrahim,Kampung Bongek
Acheh,71300 Rembau,NS.
Kepada :
Ibu bapa / Penjaga Pelajar-Pelajar Madrasah Islamiah Haji
Ibrahim.
Tuan/Puan,
PERATURAN , UNDANG-UNDANG DAN AKTIVITI MADRASAH ISLAMIAH
TUAN GURU HAJI IBRAHIM, KAMPUNG BONGEK ACHEH, 71300 REMBAU, NEGERI SEMBILAN
Diucapkan ribuan terima kasih kerana sudi memilih madrasah
ini untuk mendidik anak-anak di bawah jagaan tuan/puan.Terima kasih juga
diucapkan kerana memberi kerjasama kepada pihak madrasah demi memastikan
kemajuan agama dan pelajaran anak-anak.
Berikut adalah peraturan-peraturan yang telah ditetapkan
oleh pihak madrasah dan diharapkan tuan/puan bersama-sama pihak madrasah dapat
memastikan perlaksanaan dan keberkesanannya.Sebarang kekurangan pada peraturan
ini, diharapkan tuan/puan dapat memberikan buah fikiran dan cadangan yang
bersesuaian demi kebaikan anak-anak didik di sini.
1. YURAN DAN
TUNGGAKAN
Yuran Pendaftaran(sekali sahaja) : RM 150(Tahfiz dan Fardhu
Ain) RM 200 (Kitab) (meliputi buku pembelajaran, peralatan kelas, kemudahan
asrama,permainan dan lain-lain yang berkaitan )
Yuran Bulanan : RM 200 (meliputi makan minum pelajar,tempat
tinggal,elektrik dan air serta saguhati guru dan tukang masak)-bagi ibu bapa
dan penjaga yang tidak berkemampuan, sila jumpa pengurusan madrasah bagi
menentukan yuran yang bersesuaian.
Diminta jasa baik tuan-puan menyelesaikan yuran bulanan
anak-anak jagaan sebelum 10hb pada setiap bulan.Sebarang kelewatan bayaran
adalah diharap dapat diselesaikan dengan segera.Sekiranya tuan-puan mengalami
masalah kewangan, diharapkan tuan-puan tidak segan untuk bertemu pihak
pengurusan madrasah untuk berbincang mengenainya.
2. WANG BELANJA
PELAJAR
Sekiranya, tuan-puan memberi wang belanja kepada anak-anak
jagaan, hendaklah dipastikan bahawa wang belanja itu tidak melebihi RM50 untuk
tempoh sebulan, atau RM20 untuk untuk tempoh 2 minggu.Pihak madrasah tidak akan
bertanggungjawab di atas kehilangan dan kecurian yang berlaku akibat membawa
wang belanja yang banyak.Sekiranya tuan-puan memberi wang yuran kepada
anak-anak untuk diserahkan kepada pihak madrasah,hendaklah memaklumkan kepada
pihak pengurusan madrasah melalui telefon atau sms terlebih dahulu untuk
mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
3. BARANGAN LARANGAN
Pelajar-pelajar tidak dibenarkan sama sekali untuk membawa
atau menyimpan di kawasan madrasah barang-barang berikut : telefon bimbit,
walkman dan seumpamanya, senjata,permainan video,majalah dan seumpamanya dan
lain-lain barang yang tidak bersesuaian di kawasan madrasah.
4. PAKAIAN
Para pelajar yang mengikuti pengajian di Kelas Tahfiz dan
Kelas I’dadi(Kitab dan Bahasa Arab) adalah diwajibkan memakai jubah putih dan
serban putih semasa menghadiri kelas,majlis rasmi dan solah berjemaah(selain
Zuhor Sabtu Hingga Asar Ahad).Adapun para pelajar ibtidai(Fardhu Ain) adalah
dibenarkan memakai sebarang pakaian yang bersesuaian pada setiap masa. Para
pelajar adalah dilarang memakai pakaian yang menjolok mata,tidak menutup
aurat,ketat,nipis,bergambar dan lain-lain aspek yang tidak bersesuaian.
5. BARANG-BARANG
PERIBADI PELAJAR
Para pelajar hendaklah memberi tanda yang bersesuaian pada
barang-barang kepunyaan mereka (pakaian,buku, alat tulis, alat mandi dan
membasuh dll) supaya mudah dikenal pasti.Para pelajar juga hendaklah menyimpan
barang-barang mereka di tempat yang telah ditentukan sahaja.Para pelajar
hendaklah bertanggungjawab terhadap barang-barang kepunyaan mereka dan tidak
membiarkannya berada merata-rata sehingga rosak atau hilang.
6. HARTA MADRASAH
Para pelajar hendaklah menggunakan segala kemudahan di
madrasah dengan berhemah dan bertangungjawab demi kebaikan bersama. Begitu
juga, para pelajar dikehendaki menjauhi sifat membazir dalam mengunakan
kemudahan air, elektrik dan lain-lain. Mana-mana pelajar didapati merosakkan
harta madrasah dengan sengaja, mereka akan dikenakan tindakan tatatertib dan
menggantikan semula barang yang telah dirosakkan.Sekiranya berlaku dengan tidak
sengaja, maka diminta menggantikannya sahaja tanpa dikenakan tindakan
tatatertib.
7. MASA MELAWAT
Ibu bapa dan penjaga hanya dibenarkan untuk melawat dan
membawa keluar pelajar pada waktu-waktu
berikut :
Setiap Minggu Kedua dan Keempat sahaja:
Sabtu :02.00 pm – 7.00 pm
Ahad :11.00 am - 7.00
pm
*Selain ibu bapa dan penjaga pelajar yang ingin membawa
keluar pelajar, maka hendaklah menyerahkan surat kebenaran bertulis daripada
ibu bapa dan penjaga pelajar kepada pihak pengurusan madrasah.
*pelajar hanya boleh menghubungi ibu bapa dan penjaga
menggunakan telefon awam yang disediakan pada hari Sabtu dan Ahad bagi selain
kes kecemasan(kes-kes kecemasan hendaklah dirujuk terlebih dahulu oleh pelajar
kepada ustaz yang ada untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini).
8. BALIK BERMALAM DI
RUMAH
Para pelajar hanya dibenarkan balik bermalam di rumah pada
masa yang telah ditetapkan oleh pihak madrasah sahaja.Para pelajar hanya
dibenarkan untuk bermalam di rumah pada selain waktu yang telah ditetapkan oleh
pihak madrasah untuk kes-kes berikut :
a. Kematian –
melibatkan ibu bapa,datuk dan nenek,adik-beradik dan anggota keluarga yang
rapat dengan pelajar sahaja.
b. Sakit Tenat -
melibatkan ibu bapa,datuk dan nenek serta adik-beradik dan anggota keluarga
yang rapat dengan pelajar sahaja.
c. Kenduri – kenduri
di rumah sendiri dan di rumah datuk nenek sahaja.
d. Menerima rawatan
penyakit
e. Lain-lain
kemaslahatan yang difikirkan perlu oleh pihak pengurusan madrasah,
*Selain ibu bapa dan penjaga pelajar yang ingin membawa
pulang pelajar, maka hendaklah menyerahkan surat kebenaran bertulis daripada
ibu bapa dan penjaga pelajar kepada pihak pengurusan madrasah.
9. CUTI
Bagi pelajar-pelajar Tahfiz dan I’dadi,cuti sepanjang tahun
adalah seperti berikut :
Cuti Raya Puasa: 16 hari
Cuti Raya Haji
: 9 hari
Cuti Maulidurrasul :
9 hari
Cuti Hujung Jamadil Akhir :
9 hari
Jumlah : 43 hari
• Adapun cuti bermalam,akan dimaklumkan oleh pengurusan
madrasah kepada pihak ibu bapa dan penjaga melalui jadual cuti yang akan
ditampal di papan kenyataan madrasah.
• Pihak madrasah juga akan memberi cuti, sekiranya pihak
pengurusan mendapati perlu untuk dicutikan pelajar berdasarkan keadaan atau
keperluan yang tertentu.
Adapun bagi pelajar Ibtidai, cuti mereka adalah sama atau
lebih kurang dengan cuti sekolah kebangsaan sepanjang tahun.Ibu bapa dan penjaga
akan dimaklumkan sekiranya ada cuti tambahan diperlukan atau pengurangan
cuti.Sila rujuk jadual cuti yang dipamerkan di papan kenyataan madrasah.
10. WAKTU BERURUSAN
Sebarang urusan dengan pihak madrasah,para ibu bapa dan
penjaga pelajar diminta menghubungi terlebih dahulu pihak pengurusan madrasah.
Pihak madrasah akan memberikan waktu yang bersesuaian untuk menyelesaikan
urusan tersebut.
Secara Umum waktu urusan yang digalakkan adalah pada :
Isnin hingga Jumaat :
10 pagi hingga 12 tengahari
5.15 petang hingga 6.15 petang
Sabtu dan Ahad :
9 pagi hingga 11 pagi
2 petang hingga 3.30 petang
5.15 petang hingga 6.15 petang
11. DISIPLIN
Para pelajar hendaklah sentiasa berpakaian yang sesuai dan
menutup aurat semasa dalam kawasan madrasah dan di luar madrasah. Para pelajar
juga dikehendaki bersopan-santun dan bertutur menggunakan perkataan yang
berhemah dan sopan serta menjauhi maki hamun, mencarut, menjerit-jerit,
menganggu ketenteraman pelajar lain dan seumpamanya.Dasar hormat-menghormati
sesama pelajar, dengan guru, ibu bapa dan orang awam mestilah menjadi pegangan
para pelajar setiap masa.
Pelajar hendaklah sentiasa mematuhi jadual kelas yang telah
ditetapkan dan berada dalam kelas 5 minit sebelum pembelajaran bermula. Ketua
Kelas hendaklah mencari guru yang terlibat sekiranya guru masih tidak hadir
selepas 10 minit waktu kelas berlalu. Sekiranya tidak dijumpai guru terbabit,
maka hendaklah dilaporkan kepada Mudir Madrasah atau pembantunya secepat
mungkin.
Adalah menjadi kesalahan, sekiranya pelajar berada di tempat
lain pada waktu kelas sedang berjalan tanpa pengetahuan guru yang mengajar.
Selain jadual kelas, pelajar juga hendaklah mematuhi jadual waktu solah
berjemaah serta jadual aktiviti-aktiviti yang telah ditetapkan oleh pihak
madrasah.
12. KESALAHAN
DISIPLIN
Pelajar yang didapati melakukan kesalahan disiplin akan
dikenakan hukuman seperti berikut :
Ketuk ketampi: tidak melebihi 150 kali dalam sehari
Rotan : tidak melebihi
3 kali dalam sehari
Khidmat Kebersihan :
tidak melebihi 3 hari dalam seminggu
Bagi kesalahan-kesalahan berat seperti merokok, hidu gam,
pil kuda, ecstacy dan seumpamanya, membuli, memukul pelajar lain, bergaduh,
cabul/liwat, keluar kawasan madrasah tanpa izin dan lain-lain, hukumannya
adalah seperti berikut :
KESALAHAN PERTAMA : 3
KALI ROTAN DAN DIMAKLUMKAN KEPADA IBU BAPA ATAU PENJAGA ATAU BUANG MADRASAH
JIKA PERLU
KESALAHAN KEDUA : 4 KALI ROTAN DAN TIDAK DIIZIN PULANG KE RUMAH
DAN OUTING SELAMA 3 BULAN SERTA TIDAK DIIZIN MEMEGANG WANG BELANJA SENDIRI ATAU
BUANG MADRASAH JIKA PERLU
KESALAHAN KETIGA : 5 KALI ROTAN DAN TIDAK DIIZIN PULANG KE RUMAH
DAN OUTING SELAMA SETAHUN (PENJAGA BOLEH BERJUMPA SEBULAN SEKALI SAHAJA) SERTA
TIDAK DIIZIN MEMEGANG WANG BELANJA SENDIRI ATAU BUANG MADRASAH JIKA PERLU
KESALAHAN KEEMPAT :
BUANG MADRASAH
13. SAKIT
Pelajar atau rakan pelajar hendaklah melapurkan kepada ustaz
yang ada sekiranya sakit atau demam. Pelajar akan diberikan ubat atau rawatan
ringan di madrasah sahaja sekiranya kes tersebut tidak berat. Sekiranya pihak
madrasah mendapati kes tersebut perlu dirujuk ke klinik atau hospital,
kesegeraan tindakan menghantar akan dilakukan mengikut keseriusan sakit yang
dialami. Ibu bapa atau penjaga hendaklah menyediakan dokumen salinan (kad pengenalan
atau surat beranak) bagi pelajar untuk disimpan oleh pihak madrasah sekiranya
dokumen asal tidak ada bersama pelajar untuk urusan pendaftaran hospital. Pihak
madrasah akan mendahulukan segala pembayaran jika perlu, dan hendaklah diganti
semula selepas itu oleh ibu bapa atau penjaga.
Pelajar yang sakit dan demam hendaklah memaklumkan kepada
guru kelas dan tidak dibenarkan berada dalam bilik asrama sepanjang kelas
berjalan, sebaliknya guru kelas akan memberitahu di mana tempat yang beliau
perlu untuk berehat.
14. KHIDMAT PELAJAR
Sepanjang menuntut di madrasah ini, para pelajar akan
diberikan tugasan-tugasan harian yang tertentu untuk dilaksanakan untuk
memastikan seluruh kawasan madrasah berada dalam keadaan bersih dan kemas
sepanjang pelajar belajar di madrasah ini. Tugasan yang diberikan adalah
bersesuaian dan tidak mengganggu waktu belajar dan rehat para pelajar.
Pada setiap hujung minggu, gotong-royong akan dilakukan oleh
setiap pelajar berdasarkan arahan yang akan dikeluarkan oleh pihak madrasah.
Selain gotong-royong, pemeriksaan bilik dan barang peribadi pelajar juga akan
turut diadakan.
Pelajar yang didapati tidak mematuhi tugasan dan rutin yang
disebutkan , akan dikenakan tindakan disiplin yang sepatutnya.
15. AKTIVITI LUAR
Sepanjang menuntut di madrasah juga, para pelajar akan
terlibat dengan aktiviti luar seperti :
i) Pengajian luar yang difikirkan perlu untuk pelajar turut
serta demi mengembangkan pemikiran dan pergaulan pelajar.
ii) Aktiviti bermalam di masjid/surau berhampiran bagi melatih
pelajar suasana praktikal ibadah dan bermasyarakat
iii) Menghadiri solat jenazah dan acara pengebumian jenazah
iv) Majlis kahwin, kenduri doa selamat dan tahlil arwah.
v) Lain-lain aktiviti yang difikirkan bersesuaian dan perlu
jika ada.
Adalah diharapkan ibu bapa dan penjaga tiada halangan kepada
pihak madrasah untuk menjalankan aktiviti-aktiviti tersebut.Sekiranya ada
kemusykilan atau halangan daripada pihak ibu bapa dan penjaga, adalah diminta
untuk terus berjumpa dengan pihak pengurusan madrasah untuk diselesaikan dengan
baik.
16. SUKAN DAN RIADHAH
Pihak madrasah ada menyediakan keperluan-keperluan sukan
yang asas seperti padang bola dengan tiang gol berjaring, gelanggang takraw dan
badminton beserta net dan meja pingpong berserta net. Begitu juga bola sepak,
bola takraw,bola pingpong dan bulu tangkis turut disediakan. Namun demikian,
reket badminton, bat ping pong dan lain-lain keperluan sukan hendaklah
disediakan sendiri oleh pelajar.Selain permainan luar, madrasah juga
menyediakan permainan dalam seperti carom, congkak, catur , SAHIBBA dan dam.
Pelajar-pelajar hendaklah menggunakan dan memelihara
kemudahan permainan yang disediakan dengan baik. Sesiapa yang didapati dengan
sengaja merosakkan kemudahan permainan yang ada akan dikenakan tindakan
disiplin dan mengganti semula kemudahan yang dirosakkan.
Pelajar-pelajar hanya boleh menggunakan kemudahan-kemudahan
permainan tersebut pada :
Isnin hingga Khamis : 5.45 petang hingga 6.45 petang
Sabtu dan Ahad: 2.00 petang hingga 6.45 petang
Malam Ahad : 9.30 malam hingga 11.00 malam
17. SUMBANGAN
Pihak ibu bapa dan penjaga adalah digalakkan untuk memberi
sumbangan atau mencari sumbangan untuk kemudahan para pelajar secara khusus
atau pembangunan madrasah secara umum. Sumbangan boleh berbentuk wang, makanan,
peralatan atau kemudahan. Segala sumbangan tersebut amatlah dihargai oleh pihak
madrasah dan didoakan mendapat ganjaran yang setimpal di sisi Allah Taala.
Demikianlah undang-undang, peraturan dan aktiviti di
madrasah ini. Undang-undang dan peraturan ini adalah tertakluk kepada perubahan
dan penambaikan dari semasa ke semasa. Segala cadangan dan buah fikiran boleh
dikemukakan kepada pihak pengurusan madrasah.
Sekian, terima kasih.
JAWATANKUASA PENGURUSAN,
MADRASAH ISLAMIAH HAJI IBRAHIM,
KAMPUNG BONGEK ACHEH,
71300 REMBAU,
NEGERI SEMBILAN.
Program Cuti Sekolah
Peserta hanya 45 orang dan penyertaan telah ditutup
Dimaklumkan Madrasah Islamiah Tuan Guru Haji Ibrahim melaksanakan
Program Cuti Sekolah seperti biasa pada tahun ini bermula 30/11/2014, daftar 3
petang hingga 6.00 petang sehingga 27/12/2014, penutup 10 pagi hingga 12
tengahari
Program 4 minggu
Bayaran RM 350, meliputi 4 kali makan, penginapan, tenaga pengajar,
penceramah jemputan, aktiviti luar
Pengisian :
1. Mengaji al-Quran
2. Menghafaz al-Quran dan doa
3. Kelas Tauhid dan semakan
4 Kelas fiqh dan semakan
5. Kelas Adab dan semakan
6. Tazkirah
7 Ceramah motivasi
8. Kegiatan Luar dan
Sukan
20140519
CERAMAH SEMPENA ISRAK DAN MIKRAJ
CERAMAH SEMPENA ISRAK DAN MIKRAJ
Penceramah : Ustaz Haji Zamri Zainal
Abidin (Ex Radio IKIM)
Tempat : Madrasah Islamiah Hj Ibrahim,
Bongek, Rembau
Tarikh : 27 Mei 2014, Selasa
Masa : Selepas Maghrib
Muslimin dan muslimat semua dijemput
hadir
20140312
PROFIL MADRASAH ISLAMIAH HAJI IBRAHIM
PROFIL MADRASAH ISLAMIAH HAJI IBRAHIM
1. LATAR BELAKANG
Pendahuluan
Madrasah Islamiah Haji Ibrahim yang terletak di Kampung
Bongek Acheh adalah satu-satunya madrasah yang tertua dalam Daerah Rembau,
khasnya yang telah wujud pada tahun 1936 dengan diasaskan sendiri oleh Tuan
Guru Haji Ibrahim bin Dahan, seorang ulamak yang terkenal di Negeri Sembilan
(1907-1997). Pada tahun 2014 ini, usia madrasah telah mencapai 78 tahun
penubuhannya. Semenjak ditubuhkan, madrasah ini terus berkembang sehingga pada
tahun 1948 telah dikenali sebagai Madrasah Al-Islamiah Al-Arabiyah. Walaupun
telah melalui banyak perkembangan zaman, namun madrasah ini masih tetap
menjalankan aktiviti-aktivitinya secara terus menerus sehingga ke hari ini.
Kelas pengajian hari Rabu yang telah dimulakan oleh tuan guru pada sekitar tahun
60-an berjalan terus-menerus sehingga sekarang.Apabila Tuan Guru Haji Ibrahim
meninggal dunia pada 3 Ogos 1997, kelas tersebut telah diteruskan di madrasah
ini dengan menjemput Al-Fadhil Ustaz Fuad bin Kamaludin sebagai tenaga
pengajar, sehinggalah digantikan oleh Al-Fadhil Ustaz Roslan bin Abdul Razak
pada 2004.Buat masa sekarang, kelas tersebut telah diteruskan oleh cucu kepada
Almarhum Tuan Guru sendiri iaitu Al-Fadhil Ustaz Haji Mohd Khairuddin bin Haji
Yusoff bersama-sama guru-guru jemputan yang lain iaitu Tuan Guru Haji Abdul
Raof bin Nurin,Ustaz Sofhan bin Abdul Halim dan Ustaz Haji Kamarudin bin Said.
Selain itu, kelas Pengajian Hari Isnin turut ditambah dengan pengajian tafsir
bersama Ustaz Khushairi bin Hamdan dan pengajian hadis bersama Ustaz Khairuddin
sendiri.
Pada hari ini, madrasah ini masih berfungsi sebagai pusat
kegiatan agama yang aktif. Di samping kelas dewasa, kelas-kelas Fardhu Ain
untuk kanak-kanak juga berjalan terus semenjak tahun 1957. Sehingga kini,
Madrasah ini berfungsi dengan nama Madrasah Islamiah Tuan Guru Haji
Ibrahim(pendaftaran rasmi tahun 2014) dan Sekolah Agama Rakyat Haji Ibrahim
(telah berdaftar semenjak 1.3.1997).
Sejarah Ringkas Bangunan Madrasah
- Mula didirikan pada tahun 1936 di atas tanah kepunyaan
Tuan Guru Haji Ibrahim bin Mohd Dahan dengan perbelanjaan sendiri dan derma
orang ramai. Binaan asal merupakan sebuah surau untuk tempat solat dan belajar
agama.
- Selepas Perang Dunia ke 2 (1948), bangunan lama telah
diubahsuai menjadi bangunan dua tingkat daripada kayu.Tingkat bawah dijadikan
bilik darjah untuk belajar dan di bahagian atas untuk solat dan belajar kitab.
- Pada tahun 1982, sekali lagi bangunan madrasah ditukar
dengan bangunan baru, separuh daripada batu dan separuh lagi daripada kayu
dengan kos melebihi RM 30 ribu . Selepas itu, telah diadakan sedikit penambahan
di sebelah hadapan untuk tambahan kelas fardhu ain atas kerjasama YB Dato’
Mokhtar Haji Hashim(Bekas Ahli Parlimen Tampin masa itu).
- Bangunan madrasah terus mengalami beberapa perubahan
sehingga menjadi seperti yang dapat dilihat pada hari ini. Sehingga kini,
madrasah mempunyai dewan sembahyang, dewan kuliah, perpustakaan, bangunan
kelas, pejabat, bilik mesyuarat, dewan makan, stor dan beberapa kemudahan yang
lain lagi.
- Oktober 2008, bangunan baru sekolah agama rakyat mula
digunakan. Sekolah ini telah mendapat mendapat “Bantuan Modal” daripada
Kementerian Pelajaran Malaysia, Bahagian Pendidikan Islam dan Moral sebanyak RM
297,800.00 pada akhir tahun 2007.Dengan tambahan sumbangan orang ramai,bangunan
baru ini siap dibina di atas tanah “REZAB Sekolah Agama Rakyat Haji Ibrahim
Bongek” dengan belanja melebihi RM 320 ribu ringgit.Beberapa penambahan
dilakukan dari semasa ke semasa hasil sumbangan orang ramai. Terima kasih
diucapkan.
Sistem Pelajaran di Madrasah
- Tahun 1936-1957: mengikut sistem pondok
- Tahun 1948-1960 : mengikut sistem pondok dan sekolah Arab
(Rakyat)
* Ustaz Haji Abdul Manan bin Mohd Aji adalah Guru Besar di
madrasah ini pada tahun 1946-1957.
- Tahun 1960 hingga kini : Kelas Fardhu Ain Dewasa dan
Kanak-kanak
- Tahun 1996 hingga kini : Sekolah Agama Rakyat Darjah 1
hingga 6
- 2007 hingga 2012 : Pusat latihan bakal-bakal kelasi kapal
- 2008 hingga kini : Kelas Al-Quran Dewasa
- 2008 hingga kini : Kelas Ibtidai ( Kelas Al-Quran dan Asas
Fardhu Ain )
- Mac 2013 hingga kini : Kelas Tahfiz al-Quran
- Ogos 2013 hingga kini : Kelas I’dadi ( Bahasa Arab )
Aktiviti-aktiviti lain : Kursus Cuti Sekolah, Kursus Terbuka,
Pusat Aktiviti Keagamaan dan Kemasyarakatan dan lain-lain.
Perkembangan Kelas-Kelas Fardhu Ain Madrasah
- Tahun 1957 : Satu
kelas dengan 30 orang murid dan seorang guru.
- Tahun 1966 : Dua
kelas dengan 45 orang murid
- Tahun 1972 : Tiga
kelas dengan 64 orang murid.
- Tahun 1989 : Empat
kelas dengan 94 orang murid.
- Tahun 1990 hingga 2008 :
Lima kelas dengan murid antara 100-150 orang.
- Tahun 1997 :
Menjadi Sekolah Agama Rakyat dengan mendapat bantuan perkapita daripada
Kementerian Pelajaran dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.
- Tahun 2014 :
Bilangan pelajar seramai 96 orang termasuk kelas pra-KAFA.
Guru-Guru Yang Pernah Berkhidmat di Kelas KAFA Haji Ibrahim
Dan Sekolah Rendah Agama Rakyat Haji Ibrahim :
1. Al-Marhum Ustaz Haji Yusoff bin Maulud
2. Al-Marhumah Ustazah Hajah Che’ Mah bin Shaari
3. Al-Marhum Ustaz Haji Hashim bin Jati
4. Ustaz Haji Mahadi
Bin Abdullah
5. Al-Marhum Ustaz Haji Alias bin Amin
6. Ustazah Hajah Minah binti Idris
7. Ustazah Hajah Siti Nor binti Haji Ahmad
8. Ustazah Nor Azizah binti Yunus
9. Ustazah Salbiah binti Md.
Zin
10. Ustazah Rafidah binti Abu Bakar
11. Ustazah Rosniza bin Abdul Rahim
12. Ustaz Mazlan bin Haji Abu Bakar
13. Al-Marhumah Ustazah Azizah binti Abu Hassan
14. Ustazah Hajah Rohana Nin binti Abdul Ghani
15. Al-Marhum Ustaz Haji Jaafar bin Haji Ibrahim
16. Ustazah Arni Irdawati binti Abdul Ghani
17. Ustazah Paizah binti Haji Borhan
Kegiatan Madrasah Hari Ini
Kanak-Kanak
- Sekolah Rendah Agama (Rakyat) tahun 1 hingga 6 dengan
bilangan murid antara 70 ke 80 orang dengan 5 orang guru.Dijalankan di sebelah
petang pada hari persekolahan, hari Isnin hingga Jumaat.
- Kelas Qiraati – untuk kanak-kanak pra-sekolah, mempelajari
asas Al-Quran bagi membolehkan kanak-kanak mula membaca Al-Quran sebelum masuk
sekolah rendah.Pada masa ini, kelas ini ditumpangkan kepada sekolah rakyat.
- Majlis berkhatan pada setiap hujung tahun semenjak tahun
1996 dengan bantuan Doktor Mohd Paid bin Yusoff dan rakan-rakan.
Orang Dewasa
- Kelas mengaji kitab lama(kitab kuning) bagi pesara-pesara
kerajaan dan orang ramai pada tiap-tiap hari rabu jam 9.00 pagi hingga 11.00
pagi. Peserta pada hari ini, berjumlah antara 80-150 orang lelaki dan wanita.
Kegiatan ini telah berjalan sejak tahun enam puluhan lagi.Kelas mengaji hari
Isnin turut dijalankan semenjak tahun 2012.
- Kelas mengaji al-Quran dan tajwid harian.
- Penyembelihan korban dan akikah pada setiap sambutan Hari
Raya Haji. Sebanyak 10 hingga 20 ekor lembu dikorbankan pada setiap tahun
dengan gotong-royong penduduk setempat dan peserta korban.
Lain-lain
- Bangunan madrasah juga sering digunakan sebagai tempat
Mesyuarat Agong
koperasi-koperasi,badan-badan sukarela dan lain-lain.
- Sambutan hari-hari kebesaran Islam seperti Maulidurrasul,Israk
Mikraj dan lain-lain yang sering dihadiri oleh tokoh-tokoh agama dari dalam dan
luar negara.
-Ibu Pejabat Koperasi Pakatan Keluarga Haji Ibrahim dan
Hajah Esah Rembau Berhad ( KOHIEB ).
- Menerima lawatan dan juga aktiviti bersama dengan Institusi
Pengajian Luar seperti UiTM, UTM, USIM, IPG, institusi pengajian agama swasta
dan lain.
Bekas-Bekas Murid Tua Madrasah
Dianggarkan lebih daripada 500 orang murid madrasah ini yang
datang daripada kampung-kampung sekitar daerah Rembau, Tampin, Gemas, Johol dan
Pulau Sebang yang telah menjadi imam, bilal dan pegawai-pegawai agama seperti:
- Ustaz Haji Jamil bin Abdul Wahab yang telah melanjutkan
pelajaran ke Mesir dan pernah bertugas sebagai Pengetua Sekolah Menengah Agama
Ulu Gadong.Merupakan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan.
- Ustaz Haji Arshad bin Haji Abdul Rashid, bekas pegawai
agama di Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.
- Ustaz Haji Nawawi bin Haji Endek, bekas pegawai agama
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.
- Ustaz Abdul Manap bin Haji Abdul Hamid, bekas pegawai
agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.
- Hajjah Hindun binti Haji Abu Bakar, berkelulusan Al-Azhar,
pernah bertugas di Sekolah Agama Sheikh Mohd Said, Seremban.
Penghargaan Kepada Mudir Madrasah ( Almarhum Tuan Guru Haji
Ibrahim bin Md Dahan )
Sebagai pengikirafan di atas khidmat sukarela Tuan Guru Haji
Ibrahim, beliau telah dikurniakan beberapa anugerah seperti :
- Tahun 1988 :
anugerah : “Tokoh Pengkhidmatan Masyarakat” oleh YTM Datuk Undang Luak Rembau dan
pentadbir daerah Rembau dengan mengurniakan satu ekar tanah, kemudahan rawatan
Kelas 1, jubah dan sijil.
- Tahun 1994 :
anugerah “Tokoh Maal Hijrah” peringkat Negeri Sembilan oleh Paduka Yang Mulia,
Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
2. STATUS MADRASAH ISLAMIAH HAJI IBRAHIM PADA HARI INI
Walaupun bagi masyarakat setempat dan luar Rembau, nama
Madrasah Islamiah Haji Ibrahim adalah lebih masyhur dan dikenali, namun hanya
Sekolah Agama Rakyat Haji Ibrahim Bongek yang telah berdaftar dengan Jabatan
Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan semenjak tahun 1997 lagi.
Dari segi pentadbiran dan perjalanan aktiviti-aktiviti,
Madrasah Islamiah Haji Ibrahim adalah ibarat seperti ibu, sedangkan Sekolah
Agama Rakyat Haji Ibrahim Bongek adalah ibarat seperti anak. Namun demikian,
sehingga ke hari ini, Madrasah Islamiah Haji Ibrahim masih belum didaftarkan
secara rasmi dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.
Jika dilihat dari sudut pentadbirannya, kedua-dua institusi
ini ditadbir oleh Lembaga Tadbir yang sama. Namun dari segi pengurusan
pentadbiran dan akaun kewangan, kedua-dua institusi telah diasingkan demi
melicinkan perjalanan aktiviti kedua-duanya. Justeru itu, pihak Lembaga Tadbir
Madrasah telah mendaftarkan madrasah secara rasmi pada 6 Mac 2014.
3. BENTUK AKTIVITI PEMBELAJARAN MADRASAH ISLAMIAH HAJI
IBRAHIM PADA HARI INI DAN AKAN DATANG
Selain daripada aktiviti-aktiviti yang telah disebutkan
dalam bahagian latar belakang sebelum ini, mulai tahun 2013, Madrasah Islamiah
Haji Ibrahim telah menawarkan 3 bentuk pengajian utama bagi pelajar-pelajar
yang ingin belajar sepenuh masa di madrasah ini (duduk di asrama yang
disediakan), iaitu :
i) Pengajian Fardhu Ain (Ibtidai) : Pengajian selama 6 bulan
untuk membolehkan pelajar menguasai al-Quran, Asas Fardhu Ain, pelajaran
Tauhid, Fiqh dan Jawi.
ii) Pengajian Bahasa Arab (I’dadi) : Pengajian selama
setahun ke 2 tahun bagi membolehkan pelajar menguasai asas ilmu dengan
menggunakan Bahasa Arab untuk memudahkan mereka menyambung pengajian ke
institusi yang lebih tinggi.(Bagi jangka panjang-sekiranya mendapat dana
mencukupi membina asrama,bangunan belajar dan penempatan guru yang baru-akan
disambung dengan sistem pengajian Dayah Acheh ( 7 tahun ) atau sistem Pengajian
Daurah Hadis ( 8 tahun ).
iii) Pengajian Menghafaz al-Quran (Tahfiz) : Pengajian
selama 3 tahun hingga 5 tahun bagi membolehkan pelajar menghafaz 30 juzuk
al-Quran.(Setakat ini hanya ada satu kelas kerana tempat yang terhad-untuk
jangka panjang akan dibuka kelas tambahan dan juga kelas lanjutan di bidang
Qiraat).
Pada masa akan datang,pihak madrasah juga bercadang untuk
membuka bentuk pengajian yang sama kepada para pelajar perempuan, kerana buat
masa ini, madrasah hanya boleh menerima pelajar lelaki sahaja kerana tempat
yang terhad.
Selain pengajian tetap yang ditawarkan, pihak madrasah juga
telah menambah bentuk pengajian harian kepada pelajar dan masyarakat setempat
seperti Kelas Tahfiz Harian, Kelas Bahasa Arab, Kelas Tajwid dan Kelas Mengaji
al-Quran. Selain itu, pengajian berbentuk kursus, diskusi kitab dan kelas
jangka pendek turut diadakan dari semasa ke semasa dengan menjemput tenaga
pengajar dari luar.
4. JADUAL PENGAJIAN
KELAS TETAP YANG DITAWARKAN
5. KEMUDAHAN ASAS YANG ADA DI MADRASAH ISLAMIAH HAJI IBRAHIM
PADA MASA INI
Sehingga kini,madrasah mempunyai beberapa kemudahan
seperti :
a) Dewan Sembahyang (boleh menampung 120 orang jemaah
sembahyang)
b) Dewan Kuliah Utama (boleh menampung 200 orang ahli
pengajian, 300 jemaah sembahyang dan berhawa dingin)
c) Almari-almari koleksi kitab-kitab dan buku-buku moden
d) Bilik Kuliah bermeja dan berkerusi (boleh menampung 80
orang peserta dan berhawa dingin )
e) Asrama ( dilengkapi dengan katil 2 tingkat dan almari –
boleh dihuni oleh 68 pelajar dalam satu masa )
f) Bilik kediaman guru/warden
g) Bilik mandi / tandas / tempat basuh / mesin basuh /
ampaian pakaian
h) Pejabat
i) Bilik Mesyuarat
j) Dewan Makan Terbuka / water cooler
k) Dapur Madrasah dan Dapur Khas untuk pelajar
l) Stor Alatan
m) Telefon Awam
n) 4 unit rumah guru berkelamin dan beberapa kemudahan yang
lain lagi.
6. Sumber-sumber Kewangan Madrasah
Setelah dinilai semula, sumber-sumber yang selama ini
digunakan untuk menampung perbelanjaan di madrasah adalah seperti :
a) Derma Umum
daripada orang ramai dan juga Derma Bulanan orang ramai yang kini jumlahnya
mencecah RM 1000.00 sebulan.
b) Sumbangan Tahunan
dan Bulanan Koperasi Pakatan Keluarga Haji Ibrahim dan Hajah Esah Rembau Berhad
( KOHIEB )
c) Hasil Getah Tanah
Madrasah(buat masa ini, hasil terhenti selama 6 tahun kerana penanaman semula
yang tidak berjalan lancar)
d) Hasil Sawit
Madrasah (juga terhenti buat masa ini)
e) Kutipan Pengajian
Hari Rabu dan majlis-masjlis sambutan seperti Maulidurrasul, Israk Mikraj,
Ramadhan, Korban dan lain-lain.
f) Permohonan kepada Menteri Besar,Wakil Rakyat Tempatan,
MAINS dan lain-lain.
g) Jualan Jam Digital, Air Minuman,kitab-kitab, sewaan P.A
Sistem dan lain-lain.
h) Lain-lain pendapatan luar jangka.
i) Yuran Pengajian Pelajar
7. AKAUN BANK MADRASAH ISLAMIAH HAJI IBRAHIM
Madrasah memiliki satu akaun semasa atas nama “Madrasah
Islamiah Haji Ibrahim” – no. Akaun : 8601034069 , Bank CIMB Islamic – Cawangan
REMBAU – cek ditandatangani 2 daripada 3 pemegang akaun iaitu Pengerusi,
Bendahari dan Setiausaha.
8. JAWATANKUASA LEMBAGA TADBIR MADRASAH
Penasihat-Penasihat
1. Pegawai Agama
Islam Daerah Rembau
2. Tuan Haji Jaapar
bin Yasin – Bekas Pengarah Pembangunan Negeri Johor
3. Tuan Haji
Baharuddin bin Haji Abu Kassim PMC – Ahli Perniagaan
Pengerusi : Dato’ Haji Dahalan bin Haji Aman DSNS – Bekas
ADUN Kawasan Kota
Timbalan Pengerusi : Tuan Haji M. Shaker bin Edris – Pesara
Tentera
Setiausaha : Ustaz Haji Mohd Khairuddin bin Haji Yusoff –
Mudir Madrasah dan Guru Besar SAR Haji Ibrahim Bongek
Bendahari : Tuan Haji Othman bin Haji Ibrahim- Pesara
Kerajaan
Ahli Jawatankuasa
1. Ustaz Haji Muhamad Bin Haji Ibrahim-Pesara Guru Agama
2. Tuan Haji Saleh Bin Loyok-Pesara Guru Besar
3. Tuan Haji Hamdan bin Haji Md. Yatim – Imam Masjid Bongek
4. Tuan Haji Murtadza bin Haji Yusoff – Jurutera Awam
5. Tuan Haji Abu Bakar bin Haji Ibrahim – Bekas Penolong
Pegawai Daerah
6. Tuan Haji Abdul Hamid bin Haji Mat Nor- Kontraktor
Elektrik
7. Tuan Haji Ahmad bin Saadon – Pesara Kerajaan
8. Encik Mazlan bin Mohd Sharif – Usahawan
9. Encik Ismail bin
Osman – Bekerja Sendiri
10. Kekosongan – Ketua Kampung
11. Encik Md. Som bin Saleh – Pesara FELDA
12. Puan Hajah Umi Zainon binti Haji Salleh – Pesara Guru
13. Puan Hajah Ramlah binti Haji Ibrahim – Kakitangan
Kerajaan
14. Puan Siti Rahmah binti Basir – Bekas Kakitangan Swasta
9. GURU-GURU MADRASAH DAN KAKITANGAN SOKONGAN
Pada masa ini, Madrasah mempunyai seramai 5 orang tenaga
pengajar, iaitu:
1- Mudir Madrasah : Ustaz Haji Mohd Khairuddin bin Haji
Yusoff@Saari –lulusan Diploma Al-Quran dan As-Sunnah, Kolej Ugama Sultan Zainal
Abidin, Kuala Terengganu tahun 1999 dan juga lulusan Ijazah Usuludin Bahagian Tafsir
di Universiti Al-Azhar tahun 2001. Berkhidmat di madrasah semenjak tahun 2002.
2- Ustaz Mohd Homaidi bin Haji Mohd Hashim – Guru SAR Haji
Ibrahim Bongek dan juga Kelas Ibtidai dan I’dadi – lulusan Madrasah Miftah
al-Ulum, Sri Petaling tahun 2006. Mula berkhidmat di madrasah semenjak November
tahun 2007.
3-Ustaz Muhamad Azlan bin Rusli – Guru SAR Haji Ibrahim
Bongek dan juga Kelas Ibtidai dan Tahfiz - lulusan Madrasah Tahfizul
Quran,Mengkuang Titi, Penanti tahun 2002 dan tamat tahun lima di Miftah al-Ulum,
Sri Petaling tahun 2007. Mula berkhidmat di madrasah semenjak November tahun
2007.
4- Ustaz Mohd Faizal bin Abdullah – Guru Kelas Ibtidai -
lulusan Sijil Darjah Khas,Sekolah Agama Negeri Johor Darul Ta’zim tahun 1997
dan SPM tahun 1999. Berkhidmat di madrasah mulai tahun 2007.
5- Ustaz Muhammad Afiq bin Ahmad – Guru Kelas Tahfiz dan
I’dadi – lulusan tahfiz daripada Madrasah Tajwidul Quran, Saharanpur, India
tahun 2001 dan juga lulusan Daurah Hadis dari Madrasah Mifathul Ulum, Sri
Petaling tahun 2010. Berkhidmat di madrasah mulai tahun 2013.
6- Madrasah tengah mendapatkan seorang lagi guru
berkelayakan untuk mengajar di kelas Tahfiz dan I’dadi.
Buat masa ini, urusan pentadbiran dan pengurusan madrasah
dibantu oleh :
1. Encik Akmal Azlan bin Abdul Aziz – Kebersihan dan
Pentadbiran
2. Puan Rohani binti Haji Shamsudin – Tukang Masak
10. BENTUK YURAN
PENGAJIAN YANG DIKENAKAN
Pihak madrasah mengenakan dua bentuk yuran sahaja iaitu :
i) Yuran Pendaftaran :
RM 100* sahaja (meliputi kitab pengajian dan lain-lain keperluan)
ii) Yuran Bulanan : RM 200* sebulan (meliputi makan,
penginapan dan saguhati guru )
*Pihak madrasah memberikan kelonggaran kepada pelajar yang
kurang berkemampuan untuk membayar mengikut kadar kemampuan mereka.
11. JUMLAH PELAJAR TERKINI
Semasa profil ini ditulis, di madrasah telah pun terdapat
seramai 33 orang pelajar tetap iaitu :
i) Pelajar Ibtidai : 18 orang (maksima pelajar buat masa ini
adalah 28 orang)
ii) Pelajar Tahfiz :
9 orang (maksima pelajar buat masa ini adalah 16 orang)
iii) Pelajar I’dadi :
6 orang (maksima pelajar buat masa ini adalah 24 orang)
Walaupun pihak madrasah tidak menetapkan had umur pelajar di
madrasah ini, namun kebanyakan pelajar adalah berumur antara 13 hingga 20 tahun.
Disediakan oleh:
Lembaga Tadbir Madrasah,
Madrasah Islamiah Haji Ibrahim,
Kampung Bongek Acheh,
71300 Rembau,
Negeri Sembilan.
Langgan:
Catatan (Atom)


.jpg)





