BANNER

BANNER

20141121

PERATURAN , UNDANG-UNDANG DAN AKTIVITI MADRASAH ISLAMIAH TUAN GURU HAJI IBRAHIM



Rujukan kami  : Bil. (1 ) dlm MIB /PERATURAN/ 2014
Tarikh              : 20 November 2014

Assalamualaikum wrh. wbt.

Daripada         :
Jawatankuasa Madrasah Islamiah Haji Ibrahim,Kampung Bongek Acheh,71300 Rembau,NS.

Kepada            :
Ibu bapa / Penjaga Pelajar-Pelajar Madrasah Islamiah Haji Ibrahim.


Tuan/Puan,                                                                                                                 

PERATURAN , UNDANG-UNDANG DAN AKTIVITI MADRASAH ISLAMIAH TUAN GURU HAJI IBRAHIM, KAMPUNG BONGEK ACHEH, 71300 REMBAU, NEGERI SEMBILAN

Diucapkan ribuan terima kasih kerana sudi memilih madrasah ini untuk mendidik anak-anak di bawah jagaan tuan/puan.Terima kasih juga diucapkan kerana memberi kerjasama kepada pihak madrasah demi memastikan kemajuan agama dan pelajaran anak-anak.

Berikut adalah peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak madrasah dan diharapkan tuan/puan bersama-sama pihak madrasah dapat memastikan perlaksanaan dan keberkesanannya.Sebarang kekurangan pada peraturan ini, diharapkan tuan/puan dapat memberikan buah fikiran dan cadangan yang bersesuaian demi kebaikan anak-anak didik di sini.

1.  YURAN DAN TUNGGAKAN
Yuran Pendaftaran(sekali sahaja) : RM 150(Tahfiz dan Fardhu Ain) RM 200 (Kitab) (meliputi buku pembelajaran, peralatan kelas, kemudahan asrama,permainan dan lain-lain yang berkaitan )
Yuran Bulanan : RM 200 (meliputi makan minum pelajar,tempat tinggal,elektrik dan air serta saguhati guru dan tukang masak)-bagi ibu bapa dan penjaga yang tidak berkemampuan, sila jumpa pengurusan madrasah bagi menentukan yuran yang bersesuaian.

Diminta jasa baik tuan-puan menyelesaikan yuran bulanan anak-anak jagaan sebelum 10hb pada setiap bulan.Sebarang kelewatan bayaran adalah diharap dapat diselesaikan dengan segera.Sekiranya tuan-puan mengalami masalah kewangan, diharapkan tuan-puan tidak segan untuk bertemu pihak pengurusan madrasah untuk berbincang mengenainya.

2.  WANG BELANJA PELAJAR
Sekiranya, tuan-puan memberi wang belanja kepada anak-anak jagaan, hendaklah dipastikan bahawa wang belanja itu tidak melebihi RM50 untuk tempoh sebulan, atau RM20 untuk untuk tempoh 2 minggu.Pihak madrasah tidak akan bertanggungjawab di atas kehilangan dan kecurian yang berlaku akibat membawa wang belanja yang banyak.Sekiranya tuan-puan memberi wang yuran kepada anak-anak untuk diserahkan kepada pihak madrasah,hendaklah memaklumkan kepada pihak pengurusan madrasah melalui telefon atau sms terlebih dahulu untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

3.  BARANGAN LARANGAN
Pelajar-pelajar tidak dibenarkan sama sekali untuk membawa atau menyimpan di kawasan madrasah barang-barang berikut : telefon bimbit, walkman dan seumpamanya, senjata,permainan video,majalah dan seumpamanya dan lain-lain barang yang tidak bersesuaian di kawasan madrasah.

4.  PAKAIAN
Para pelajar yang mengikuti pengajian di Kelas Tahfiz dan Kelas I’dadi(Kitab dan Bahasa Arab) adalah diwajibkan memakai jubah putih dan serban putih semasa menghadiri kelas,majlis rasmi dan solah berjemaah(selain Zuhor Sabtu Hingga Asar Ahad).Adapun para pelajar ibtidai(Fardhu Ain) adalah dibenarkan memakai sebarang pakaian yang bersesuaian pada setiap masa. Para pelajar adalah dilarang memakai pakaian yang menjolok mata,tidak menutup aurat,ketat,nipis,bergambar dan lain-lain aspek yang tidak bersesuaian.

5.  BARANG-BARANG PERIBADI PELAJAR
Para pelajar hendaklah memberi tanda yang bersesuaian pada barang-barang kepunyaan mereka (pakaian,buku, alat tulis, alat mandi dan membasuh dll) supaya mudah dikenal pasti.Para pelajar juga hendaklah menyimpan barang-barang mereka di tempat yang telah ditentukan sahaja.Para pelajar hendaklah bertanggungjawab terhadap barang-barang kepunyaan mereka dan tidak membiarkannya berada merata-rata sehingga rosak atau hilang.

6.  HARTA MADRASAH
Para pelajar hendaklah menggunakan segala kemudahan di madrasah dengan berhemah dan bertangungjawab demi kebaikan bersama. Begitu juga, para pelajar dikehendaki menjauhi sifat membazir dalam mengunakan kemudahan air, elektrik dan lain-lain. Mana-mana pelajar didapati merosakkan harta madrasah dengan sengaja, mereka akan dikenakan tindakan tatatertib dan menggantikan semula barang yang telah dirosakkan.Sekiranya berlaku dengan tidak sengaja, maka diminta menggantikannya sahaja tanpa dikenakan tindakan tatatertib.

7. MASA MELAWAT
Ibu bapa dan penjaga hanya dibenarkan untuk melawat dan membawa keluar pelajar  pada waktu-waktu berikut :

Setiap Minggu Kedua dan Keempat sahaja:
Sabtu :02.00 pm – 7.00 pm
Ahad :11.00 am -  7.00 pm

*Selain ibu bapa dan penjaga pelajar yang ingin membawa keluar pelajar, maka hendaklah menyerahkan surat kebenaran bertulis daripada ibu bapa dan penjaga pelajar kepada pihak pengurusan madrasah.
*pelajar hanya boleh menghubungi ibu bapa dan penjaga menggunakan telefon awam yang disediakan pada hari Sabtu dan Ahad bagi selain kes kecemasan(kes-kes kecemasan hendaklah dirujuk terlebih dahulu oleh pelajar kepada ustaz yang ada untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini).

8.  BALIK BERMALAM DI RUMAH
Para pelajar hanya dibenarkan balik bermalam di rumah pada masa yang telah ditetapkan oleh pihak madrasah sahaja.Para pelajar hanya dibenarkan untuk bermalam di rumah pada selain waktu yang telah ditetapkan oleh pihak madrasah untuk kes-kes berikut :
a.  Kematian – melibatkan ibu bapa,datuk dan nenek,adik-beradik dan anggota keluarga yang rapat dengan pelajar sahaja.
b.  Sakit Tenat - melibatkan ibu bapa,datuk dan nenek serta adik-beradik dan anggota keluarga yang rapat dengan pelajar sahaja.
c.  Kenduri – kenduri di rumah sendiri dan di rumah datuk nenek sahaja.
d.  Menerima rawatan penyakit
e.  Lain-lain kemaslahatan yang difikirkan perlu oleh pihak pengurusan madrasah,

*Selain ibu bapa dan penjaga pelajar yang ingin membawa pulang pelajar, maka hendaklah menyerahkan surat kebenaran bertulis daripada ibu bapa dan penjaga pelajar kepada pihak pengurusan madrasah.

9.  CUTI
Bagi pelajar-pelajar Tahfiz dan I’dadi,cuti sepanjang tahun adalah seperti berikut :
Cuti Raya Puasa: 16 hari
Cuti Raya Haji            :  9 hari
Cuti Maulidurrasul :  9 hari
Cuti Hujung Jamadil Akhir :  9 hari               
Jumlah : 43 hari

• Adapun cuti bermalam,akan dimaklumkan oleh pengurusan madrasah kepada pihak ibu bapa dan penjaga melalui jadual cuti yang akan ditampal di papan kenyataan madrasah.
• Pihak madrasah juga akan memberi cuti, sekiranya pihak pengurusan mendapati perlu untuk dicutikan pelajar berdasarkan keadaan atau keperluan yang tertentu.

Adapun bagi pelajar Ibtidai, cuti mereka adalah sama atau lebih kurang dengan cuti sekolah kebangsaan sepanjang tahun.Ibu bapa dan penjaga akan dimaklumkan sekiranya ada cuti tambahan diperlukan atau pengurangan cuti.Sila rujuk jadual cuti yang dipamerkan di papan kenyataan madrasah.

10.  WAKTU BERURUSAN
Sebarang urusan dengan pihak madrasah,para ibu bapa dan penjaga pelajar diminta menghubungi terlebih dahulu pihak pengurusan madrasah. Pihak madrasah akan memberikan waktu yang bersesuaian untuk menyelesaikan urusan tersebut.

Secara Umum waktu urusan yang digalakkan adalah pada :

Isnin hingga Jumaat  :
10 pagi hingga 12 tengahari
5.15 petang hingga 6.15 petang

Sabtu dan Ahad :
9 pagi hingga 11 pagi
2 petang hingga 3.30 petang
5.15 petang hingga 6.15 petang

11.  DISIPLIN
Para pelajar hendaklah sentiasa berpakaian yang sesuai dan menutup aurat semasa dalam kawasan madrasah dan di luar madrasah. Para pelajar juga dikehendaki bersopan-santun dan bertutur menggunakan perkataan yang berhemah dan sopan serta menjauhi maki hamun, mencarut, menjerit-jerit, menganggu ketenteraman pelajar lain dan seumpamanya.Dasar hormat-menghormati sesama pelajar, dengan guru, ibu bapa dan orang awam mestilah menjadi pegangan para pelajar setiap masa.

Pelajar hendaklah sentiasa mematuhi jadual kelas yang telah ditetapkan dan berada dalam kelas 5 minit sebelum pembelajaran bermula. Ketua Kelas hendaklah mencari guru yang terlibat sekiranya guru masih tidak hadir selepas 10 minit waktu kelas berlalu. Sekiranya tidak dijumpai guru terbabit, maka hendaklah dilaporkan kepada Mudir Madrasah atau pembantunya secepat mungkin.

Adalah menjadi kesalahan, sekiranya pelajar berada di tempat lain pada waktu kelas sedang berjalan tanpa pengetahuan guru yang mengajar. Selain jadual kelas, pelajar juga hendaklah mematuhi jadual waktu solah berjemaah serta jadual aktiviti-aktiviti yang telah ditetapkan oleh pihak madrasah.

12.  KESALAHAN DISIPLIN
Pelajar yang didapati melakukan kesalahan disiplin akan dikenakan hukuman seperti berikut :
Ketuk ketampi: tidak melebihi 150 kali dalam sehari
Rotan  : tidak melebihi 3 kali dalam sehari
Khidmat Kebersihan   : tidak melebihi 3 hari dalam seminggu

Bagi kesalahan-kesalahan berat seperti merokok, hidu gam, pil kuda, ecstacy dan seumpamanya, membuli, memukul pelajar lain, bergaduh, cabul/liwat, keluar kawasan madrasah tanpa izin dan lain-lain, hukumannya adalah seperti berikut :
KESALAHAN PERTAMA   : 3 KALI ROTAN DAN DIMAKLUMKAN KEPADA IBU BAPA ATAU PENJAGA ATAU BUANG MADRASAH JIKA PERLU
KESALAHAN KEDUA       :  4 KALI ROTAN DAN TIDAK DIIZIN PULANG KE RUMAH DAN OUTING SELAMA 3 BULAN SERTA TIDAK DIIZIN MEMEGANG WANG BELANJA SENDIRI ATAU BUANG MADRASAH JIKA PERLU
KESALAHAN KETIGA       :  5 KALI ROTAN DAN TIDAK DIIZIN PULANG KE RUMAH DAN OUTING SELAMA SETAHUN (PENJAGA BOLEH BERJUMPA SEBULAN SEKALI SAHAJA) SERTA TIDAK DIIZIN MEMEGANG WANG BELANJA SENDIRI ATAU BUANG MADRASAH JIKA PERLU
KESALAHAN KEEMPAT   : BUANG MADRASAH

13. SAKIT
Pelajar atau rakan pelajar hendaklah melapurkan kepada ustaz yang ada sekiranya sakit atau demam. Pelajar akan diberikan ubat atau rawatan ringan di madrasah sahaja sekiranya kes tersebut tidak berat. Sekiranya pihak madrasah mendapati kes tersebut perlu dirujuk ke klinik atau hospital, kesegeraan tindakan menghantar akan dilakukan mengikut keseriusan sakit yang dialami. Ibu bapa atau penjaga hendaklah menyediakan dokumen salinan (kad pengenalan atau surat beranak) bagi pelajar untuk disimpan oleh pihak madrasah sekiranya dokumen asal tidak ada bersama pelajar untuk urusan pendaftaran hospital. Pihak madrasah akan mendahulukan segala pembayaran jika perlu, dan hendaklah diganti semula selepas itu oleh ibu bapa atau penjaga.

Pelajar yang sakit dan demam hendaklah memaklumkan kepada guru kelas dan tidak dibenarkan berada dalam bilik asrama sepanjang kelas berjalan, sebaliknya guru kelas akan memberitahu di mana tempat yang beliau perlu untuk berehat.

14.  KHIDMAT PELAJAR
Sepanjang menuntut di madrasah ini, para pelajar akan diberikan tugasan-tugasan harian yang tertentu untuk dilaksanakan untuk memastikan seluruh kawasan madrasah berada dalam keadaan bersih dan kemas sepanjang pelajar belajar di madrasah ini. Tugasan yang diberikan adalah bersesuaian dan tidak mengganggu waktu belajar dan rehat para pelajar.
Pada setiap hujung minggu, gotong-royong akan dilakukan oleh setiap pelajar berdasarkan arahan yang akan dikeluarkan oleh pihak madrasah. Selain gotong-royong, pemeriksaan bilik dan barang peribadi pelajar juga akan turut diadakan.

Pelajar yang didapati tidak mematuhi tugasan dan rutin yang disebutkan , akan dikenakan tindakan disiplin yang sepatutnya.

15. AKTIVITI LUAR
Sepanjang menuntut di madrasah juga, para pelajar akan terlibat dengan aktiviti luar seperti :
i) Pengajian luar yang difikirkan perlu untuk pelajar turut serta demi mengembangkan pemikiran dan pergaulan pelajar.
ii) Aktiviti bermalam di masjid/surau berhampiran bagi melatih pelajar suasana praktikal ibadah dan bermasyarakat
iii) Menghadiri solat jenazah dan acara pengebumian jenazah
iv) Majlis kahwin, kenduri doa selamat dan tahlil arwah.
v) Lain-lain aktiviti yang difikirkan bersesuaian dan perlu jika ada.

Adalah diharapkan ibu bapa dan penjaga tiada halangan kepada pihak madrasah untuk menjalankan aktiviti-aktiviti tersebut.Sekiranya ada kemusykilan atau halangan daripada pihak ibu bapa dan penjaga, adalah diminta untuk terus berjumpa dengan pihak pengurusan madrasah untuk diselesaikan dengan baik.

16. SUKAN DAN RIADHAH
Pihak madrasah ada menyediakan keperluan-keperluan sukan yang asas seperti padang bola dengan tiang gol berjaring, gelanggang takraw dan badminton beserta net dan meja pingpong berserta net. Begitu juga bola sepak, bola takraw,bola pingpong dan bulu tangkis turut disediakan. Namun demikian, reket badminton, bat ping pong dan lain-lain keperluan sukan hendaklah disediakan sendiri oleh pelajar.Selain permainan luar, madrasah juga menyediakan permainan dalam seperti carom, congkak, catur , SAHIBBA dan dam.
Pelajar-pelajar hendaklah menggunakan dan memelihara kemudahan permainan yang disediakan dengan baik. Sesiapa yang didapati dengan sengaja merosakkan kemudahan permainan yang ada akan dikenakan tindakan disiplin dan mengganti semula kemudahan yang dirosakkan.
Pelajar-pelajar hanya boleh menggunakan kemudahan-kemudahan permainan tersebut pada :
Isnin hingga Khamis : 5.45 petang hingga 6.45 petang
Sabtu dan Ahad: 2.00 petang hingga 6.45 petang
Malam Ahad : 9.30 malam hingga 11.00 malam

17.  SUMBANGAN
Pihak ibu bapa dan penjaga adalah digalakkan untuk memberi sumbangan atau mencari sumbangan untuk kemudahan para pelajar secara khusus atau pembangunan madrasah secara umum. Sumbangan boleh berbentuk wang, makanan, peralatan atau kemudahan. Segala sumbangan tersebut amatlah dihargai oleh pihak madrasah dan didoakan mendapat ganjaran yang setimpal di sisi Allah Taala.

Demikianlah undang-undang, peraturan dan aktiviti di madrasah ini. Undang-undang dan peraturan ini adalah tertakluk kepada perubahan dan penambaikan dari semasa ke semasa. Segala cadangan dan buah fikiran boleh dikemukakan kepada pihak pengurusan madrasah.

Sekian, terima kasih.

JAWATANKUASA PENGURUSAN,
MADRASAH ISLAMIAH HAJI IBRAHIM,
KAMPUNG BONGEK ACHEH,
71300 REMBAU,
NEGERI SEMBILAN.

Program Cuti Sekolah



Peserta hanya 45 orang dan penyertaan telah ditutup

Dimaklumkan Madrasah Islamiah Tuan Guru Haji Ibrahim melaksanakan Program Cuti Sekolah seperti biasa pada tahun ini bermula 30/11/2014, daftar 3 petang hingga 6.00 petang sehingga 27/12/2014, penutup 10 pagi hingga 12 tengahari

Program 4 minggu
Bayaran RM 350, meliputi 4 kali makan, penginapan, tenaga pengajar, penceramah jemputan, aktiviti luar

Pengisian :
1. Mengaji al-Quran
2. Menghafaz al-Quran dan doa
3. Kelas Tauhid dan semakan 
4 Kelas fiqh dan semakan
5. Kelas Adab dan semakan
6. Tazkirah
7 Ceramah motivasi
8.  Kegiatan Luar dan Sukan

20140519

CERAMAH SEMPENA ISRAK DAN MIKRAJ


CERAMAH SEMPENA ISRAK DAN MIKRAJ
Penceramah : Ustaz Haji Zamri Zainal Abidin (Ex Radio IKIM)
Tempat : Madrasah Islamiah Hj Ibrahim, Bongek, Rembau
Tarikh : 27 Mei 2014, Selasa
Masa : Selepas Maghrib
Muslimin dan muslimat semua dijemput hadir

20140312

PROFIL MADRASAH ISLAMIAH HAJI IBRAHIM



PROFIL MADRASAH ISLAMIAH HAJI IBRAHIM

1. LATAR BELAKANG

Pendahuluan

Madrasah Islamiah Haji Ibrahim yang terletak di Kampung Bongek Acheh adalah satu-satunya madrasah yang tertua dalam Daerah Rembau, khasnya yang telah wujud pada tahun 1936 dengan diasaskan sendiri oleh Tuan Guru Haji Ibrahim bin Dahan, seorang ulamak yang terkenal di Negeri Sembilan (1907-1997). Pada tahun 2014 ini, usia madrasah telah mencapai 78 tahun penubuhannya. Semenjak ditubuhkan, madrasah ini terus berkembang sehingga pada tahun 1948 telah dikenali sebagai Madrasah Al-Islamiah Al-Arabiyah. Walaupun telah melalui banyak perkembangan zaman, namun madrasah ini masih tetap menjalankan aktiviti-aktivitinya secara terus menerus sehingga ke hari ini. Kelas pengajian hari Rabu yang telah dimulakan oleh tuan guru pada sekitar tahun 60-an berjalan terus-menerus sehingga sekarang.Apabila Tuan Guru Haji Ibrahim meninggal dunia pada 3 Ogos 1997, kelas tersebut telah diteruskan di madrasah ini dengan menjemput Al-Fadhil Ustaz Fuad bin Kamaludin sebagai tenaga pengajar, sehinggalah digantikan oleh Al-Fadhil Ustaz Roslan bin Abdul Razak pada 2004.Buat masa sekarang, kelas tersebut telah diteruskan oleh cucu kepada Almarhum Tuan Guru sendiri iaitu Al-Fadhil Ustaz Haji Mohd Khairuddin bin Haji Yusoff bersama-sama guru-guru jemputan yang lain iaitu Tuan Guru Haji Abdul Raof bin Nurin,Ustaz Sofhan bin Abdul Halim dan Ustaz Haji Kamarudin bin Said. Selain itu, kelas Pengajian Hari Isnin turut ditambah dengan pengajian tafsir bersama Ustaz Khushairi bin Hamdan dan pengajian hadis bersama Ustaz Khairuddin sendiri.

Pada hari ini, madrasah ini masih berfungsi sebagai pusat kegiatan agama yang aktif. Di samping kelas dewasa, kelas-kelas Fardhu Ain untuk kanak-kanak juga berjalan terus semenjak tahun 1957. Sehingga kini, Madrasah ini berfungsi dengan nama Madrasah Islamiah Tuan Guru Haji Ibrahim(pendaftaran rasmi tahun 2014) dan Sekolah Agama Rakyat Haji Ibrahim (telah berdaftar semenjak 1.3.1997).

Sejarah Ringkas Bangunan Madrasah

- Mula didirikan pada tahun 1936 di atas tanah kepunyaan Tuan Guru Haji Ibrahim bin Mohd Dahan dengan perbelanjaan sendiri dan derma orang ramai. Binaan asal merupakan sebuah surau untuk tempat solat dan belajar agama.
- Selepas Perang Dunia ke 2 (1948), bangunan lama telah diubahsuai menjadi bangunan dua tingkat daripada kayu.Tingkat bawah dijadikan bilik darjah untuk belajar dan di bahagian atas untuk solat dan belajar kitab.
- Pada tahun 1982, sekali lagi bangunan madrasah ditukar dengan bangunan baru, separuh daripada batu dan separuh lagi daripada kayu dengan kos melebihi RM 30 ribu . Selepas itu, telah diadakan sedikit penambahan di sebelah hadapan untuk tambahan kelas fardhu ain atas kerjasama YB Dato’ Mokhtar Haji Hashim(Bekas Ahli Parlimen Tampin masa itu).
- Bangunan madrasah terus mengalami beberapa perubahan sehingga menjadi seperti yang dapat dilihat pada hari ini. Sehingga kini, madrasah mempunyai dewan sembahyang, dewan kuliah, perpustakaan, bangunan kelas, pejabat, bilik mesyuarat, dewan makan, stor dan beberapa kemudahan yang lain lagi.

- Oktober 2008, bangunan baru sekolah agama rakyat mula digunakan. Sekolah ini telah mendapat mendapat “Bantuan Modal” daripada Kementerian Pelajaran Malaysia, Bahagian Pendidikan Islam dan Moral sebanyak RM 297,800.00 pada akhir tahun 2007.Dengan tambahan sumbangan orang ramai,bangunan baru ini siap dibina di atas tanah “REZAB Sekolah Agama Rakyat Haji Ibrahim Bongek” dengan belanja melebihi RM 320 ribu ringgit.Beberapa penambahan dilakukan dari semasa ke semasa hasil sumbangan orang ramai. Terima kasih diucapkan.

Sistem Pelajaran di Madrasah

- Tahun 1936-1957: mengikut sistem pondok
- Tahun 1948-1960 : mengikut sistem pondok dan sekolah Arab (Rakyat)
* Ustaz Haji Abdul Manan bin Mohd Aji adalah Guru Besar di madrasah ini pada tahun 1946-1957.
- Tahun 1960 hingga kini : Kelas Fardhu Ain Dewasa dan Kanak-kanak
- Tahun 1996 hingga kini : Sekolah Agama Rakyat Darjah 1 hingga 6
- 2007 hingga 2012 : Pusat latihan bakal-bakal kelasi kapal
- 2008 hingga kini : Kelas Al-Quran Dewasa
- 2008 hingga kini : Kelas Ibtidai ( Kelas Al-Quran dan Asas Fardhu Ain )
- Mac 2013 hingga kini : Kelas Tahfiz al-Quran
- Ogos 2013 hingga kini : Kelas I’dadi ( Bahasa Arab )

Aktiviti-aktiviti lain : Kursus Cuti Sekolah, Kursus Terbuka, Pusat Aktiviti Keagamaan dan Kemasyarakatan dan lain-lain.

Perkembangan Kelas-Kelas Fardhu Ain Madrasah

- Tahun 1957   : Satu kelas dengan 30 orang murid dan seorang guru.
- Tahun 1966   : Dua kelas dengan 45 orang murid
- Tahun 1972   : Tiga kelas dengan 64 orang murid.
- Tahun 1989   : Empat kelas dengan 94 orang murid.
- Tahun 1990 hingga 2008      : Lima kelas dengan murid antara 100-150 orang.
- Tahun 1997   : Menjadi Sekolah Agama Rakyat dengan mendapat bantuan perkapita daripada Kementerian Pelajaran dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.
- Tahun 2014   : Bilangan pelajar seramai 96 orang termasuk kelas pra-KAFA.

Guru-Guru Yang Pernah Berkhidmat di Kelas KAFA Haji Ibrahim Dan Sekolah Rendah Agama Rakyat Haji Ibrahim :

1. Al-Marhum Ustaz Haji Yusoff bin Maulud
2. Al-Marhumah Ustazah Hajah Che’ Mah bin Shaari
3. Al-Marhum Ustaz Haji Hashim bin Jati
4. Ustaz Haji Mahadi  Bin Abdullah
5. Al-Marhum Ustaz Haji Alias bin Amin
6. Ustazah Hajah Minah binti Idris
7. Ustazah Hajah Siti Nor binti Haji Ahmad
8. Ustazah Nor Azizah binti Yunus
9. Ustazah Salbiah binti Md.  Zin
10. Ustazah Rafidah binti Abu Bakar
11. Ustazah Rosniza bin Abdul Rahim
12. Ustaz Mazlan bin Haji Abu Bakar
13. Al-Marhumah Ustazah Azizah binti Abu Hassan
14. Ustazah Hajah Rohana Nin binti Abdul Ghani
15. Al-Marhum Ustaz Haji Jaafar bin Haji Ibrahim
16. Ustazah Arni Irdawati binti Abdul  Ghani
17. Ustazah Paizah binti Haji Borhan

Kegiatan Madrasah Hari Ini
           
Kanak-Kanak

- Sekolah Rendah Agama (Rakyat) tahun 1 hingga 6 dengan bilangan murid antara 70 ke 80 orang dengan 5 orang guru.Dijalankan di sebelah petang pada hari persekolahan, hari Isnin hingga Jumaat.
- Kelas Qiraati – untuk kanak-kanak pra-sekolah, mempelajari asas Al-Quran bagi membolehkan kanak-kanak mula membaca Al-Quran sebelum masuk sekolah rendah.Pada masa ini, kelas ini ditumpangkan kepada sekolah rakyat.
- Majlis berkhatan pada setiap hujung tahun semenjak tahun 1996 dengan bantuan Doktor Mohd Paid bin Yusoff dan rakan-rakan.

Orang Dewasa

- Kelas mengaji kitab lama(kitab kuning) bagi pesara-pesara kerajaan dan orang ramai pada tiap-tiap hari rabu jam 9.00 pagi hingga 11.00 pagi. Peserta pada hari ini, berjumlah antara 80-150 orang lelaki dan wanita. Kegiatan ini telah berjalan sejak tahun enam puluhan lagi.Kelas mengaji hari Isnin turut dijalankan semenjak tahun 2012.
- Kelas mengaji al-Quran dan tajwid harian.
- Penyembelihan korban dan akikah pada setiap sambutan Hari Raya Haji. Sebanyak 10 hingga 20 ekor lembu dikorbankan pada setiap tahun dengan gotong-royong penduduk setempat dan peserta korban.

Lain-lain

- Bangunan madrasah juga sering digunakan sebagai tempat Mesyuarat  Agong koperasi-koperasi,badan-badan sukarela dan lain-lain.
- Sambutan hari-hari kebesaran Islam seperti Maulidurrasul,Israk Mikraj dan lain-lain yang sering dihadiri oleh tokoh-tokoh agama dari dalam dan luar negara.
-Ibu Pejabat Koperasi Pakatan Keluarga Haji Ibrahim dan Hajah Esah Rembau Berhad ( KOHIEB ).
- Menerima lawatan dan juga aktiviti bersama dengan Institusi Pengajian Luar seperti UiTM, UTM, USIM, IPG, institusi pengajian agama swasta dan lain.

Bekas-Bekas Murid Tua Madrasah

Dianggarkan lebih daripada 500 orang murid madrasah ini yang datang daripada kampung-kampung sekitar daerah Rembau, Tampin, Gemas, Johol dan Pulau Sebang yang telah menjadi imam, bilal dan pegawai-pegawai agama seperti:

- Ustaz Haji Jamil bin Abdul Wahab yang telah melanjutkan pelajaran ke Mesir dan pernah bertugas sebagai Pengetua Sekolah Menengah Agama Ulu Gadong.Merupakan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan.
- Ustaz Haji Arshad bin Haji Abdul Rashid, bekas pegawai agama di Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.
- Ustaz Haji Nawawi bin Haji Endek, bekas pegawai agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.
- Ustaz Abdul Manap bin Haji Abdul Hamid, bekas pegawai agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.
- Hajjah Hindun binti Haji Abu Bakar, berkelulusan Al-Azhar, pernah bertugas di Sekolah Agama Sheikh Mohd Said, Seremban.

Penghargaan Kepada Mudir Madrasah ( Almarhum Tuan Guru Haji Ibrahim bin Md Dahan )

Sebagai pengikirafan di atas khidmat sukarela Tuan Guru Haji Ibrahim, beliau telah dikurniakan beberapa anugerah seperti :
- Tahun 1988   : anugerah : “Tokoh Pengkhidmatan Masyarakat” oleh YTM Datuk Undang Luak Rembau dan pentadbir daerah Rembau dengan mengurniakan satu ekar tanah, kemudahan rawatan Kelas 1, jubah dan sijil.
- Tahun 1994   : anugerah “Tokoh Maal Hijrah” peringkat Negeri Sembilan oleh Paduka Yang Mulia, Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.


2. STATUS MADRASAH ISLAMIAH HAJI IBRAHIM PADA HARI INI

Walaupun bagi masyarakat setempat dan luar Rembau, nama Madrasah Islamiah Haji Ibrahim adalah lebih masyhur dan dikenali, namun hanya Sekolah Agama Rakyat Haji Ibrahim Bongek yang telah berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan semenjak tahun 1997 lagi.
           
Dari segi pentadbiran dan perjalanan aktiviti-aktiviti, Madrasah Islamiah Haji Ibrahim adalah ibarat seperti ibu, sedangkan Sekolah Agama Rakyat Haji Ibrahim Bongek adalah ibarat seperti anak. Namun demikian, sehingga ke hari ini, Madrasah Islamiah Haji Ibrahim masih belum didaftarkan secara rasmi dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.
           
Jika dilihat dari sudut pentadbirannya, kedua-dua institusi ini ditadbir oleh Lembaga Tadbir yang sama. Namun dari segi pengurusan pentadbiran dan akaun kewangan, kedua-dua institusi telah diasingkan demi melicinkan perjalanan aktiviti kedua-duanya. Justeru itu, pihak Lembaga Tadbir Madrasah telah mendaftarkan madrasah secara rasmi pada 6 Mac 2014.



3. BENTUK AKTIVITI PEMBELAJARAN MADRASAH ISLAMIAH HAJI IBRAHIM PADA HARI INI DAN AKAN DATANG

Selain daripada aktiviti-aktiviti yang telah disebutkan dalam bahagian latar belakang sebelum ini, mulai tahun 2013, Madrasah Islamiah Haji Ibrahim telah menawarkan 3 bentuk pengajian utama bagi pelajar-pelajar yang ingin belajar sepenuh masa di madrasah ini (duduk di asrama yang disediakan), iaitu :

i) Pengajian Fardhu Ain (Ibtidai) : Pengajian selama 6 bulan untuk membolehkan pelajar menguasai al-Quran, Asas Fardhu Ain, pelajaran Tauhid, Fiqh dan Jawi.

ii) Pengajian Bahasa Arab (I’dadi) : Pengajian selama setahun ke 2 tahun bagi membolehkan pelajar menguasai asas ilmu dengan menggunakan Bahasa Arab untuk memudahkan mereka menyambung pengajian ke institusi yang lebih tinggi.(Bagi jangka panjang-sekiranya mendapat dana mencukupi membina asrama,bangunan belajar dan penempatan guru yang baru-akan disambung dengan sistem pengajian Dayah Acheh ( 7 tahun ) atau sistem Pengajian Daurah Hadis ( 8 tahun ).

iii) Pengajian Menghafaz al-Quran (Tahfiz) : Pengajian selama 3 tahun hingga 5 tahun bagi membolehkan pelajar menghafaz 30 juzuk al-Quran.(Setakat ini hanya ada satu kelas kerana tempat yang terhad-untuk jangka panjang akan dibuka kelas tambahan dan juga kelas lanjutan di bidang Qiraat).

Pada masa akan datang,pihak madrasah juga bercadang untuk membuka bentuk pengajian yang sama kepada para pelajar perempuan, kerana buat masa ini, madrasah hanya boleh menerima pelajar lelaki sahaja kerana tempat yang terhad.

Selain pengajian tetap yang ditawarkan, pihak madrasah juga telah menambah bentuk pengajian harian kepada pelajar dan masyarakat setempat seperti Kelas Tahfiz Harian, Kelas Bahasa Arab, Kelas Tajwid dan Kelas Mengaji al-Quran. Selain itu, pengajian berbentuk kursus, diskusi kitab dan kelas jangka pendek turut diadakan dari semasa ke semasa dengan menjemput tenaga pengajar dari luar.


4.  JADUAL PENGAJIAN KELAS TETAP YANG DITAWARKAN





5. KEMUDAHAN ASAS YANG ADA DI MADRASAH ISLAMIAH HAJI IBRAHIM PADA MASA INI

Sehingga kini,madrasah mempunyai beberapa kemudahan seperti  :

a) Dewan Sembahyang (boleh menampung 120 orang jemaah sembahyang)
b) Dewan Kuliah Utama (boleh menampung 200 orang ahli pengajian, 300 jemaah sembahyang dan berhawa dingin)
c) Almari-almari koleksi kitab-kitab dan buku-buku moden
d) Bilik Kuliah bermeja dan berkerusi (boleh menampung 80 orang peserta dan berhawa dingin )
e) Asrama ( dilengkapi dengan katil 2 tingkat dan almari – boleh dihuni oleh 68 pelajar dalam satu masa )
f) Bilik kediaman guru/warden
g) Bilik mandi / tandas / tempat basuh / mesin basuh / ampaian pakaian
h) Pejabat
i) Bilik Mesyuarat
j) Dewan Makan Terbuka / water cooler
k) Dapur Madrasah dan Dapur Khas untuk pelajar
l) Stor Alatan
m) Telefon Awam
n) 4 unit rumah guru berkelamin dan beberapa kemudahan yang lain lagi.

6. Sumber-sumber Kewangan Madrasah

Setelah dinilai semula, sumber-sumber yang selama ini digunakan untuk menampung perbelanjaan di madrasah adalah seperti :

a)  Derma Umum daripada orang ramai dan juga Derma Bulanan orang ramai yang kini jumlahnya mencecah RM 1000.00 sebulan.
b)  Sumbangan Tahunan dan Bulanan Koperasi Pakatan Keluarga Haji Ibrahim dan Hajah Esah Rembau Berhad ( KOHIEB )
c)  Hasil Getah Tanah Madrasah(buat masa ini, hasil terhenti selama 6 tahun kerana penanaman semula yang tidak berjalan lancar)
d)  Hasil Sawit Madrasah (juga terhenti buat masa ini)
e)  Kutipan Pengajian Hari Rabu dan majlis-masjlis sambutan seperti Maulidurrasul, Israk Mikraj, Ramadhan, Korban dan lain-lain.
f) Permohonan kepada Menteri Besar,Wakil Rakyat Tempatan, MAINS dan lain-lain.
g) Jualan Jam Digital, Air Minuman,kitab-kitab, sewaan P.A Sistem dan lain-lain.
h) Lain-lain pendapatan luar jangka.
i) Yuran Pengajian Pelajar

7. AKAUN BANK MADRASAH ISLAMIAH HAJI IBRAHIM

Madrasah memiliki satu akaun semasa atas nama “Madrasah Islamiah Haji Ibrahim” – no. Akaun : 8601034069 , Bank CIMB Islamic – Cawangan REMBAU – cek ditandatangani 2 daripada 3 pemegang akaun iaitu Pengerusi, Bendahari dan Setiausaha.

8. JAWATANKUASA LEMBAGA TADBIR MADRASAH

Penasihat-Penasihat   
1.  Pegawai Agama Islam Daerah Rembau
2.  Tuan Haji Jaapar bin Yasin – Bekas Pengarah Pembangunan Negeri Johor
3.  Tuan Haji Baharuddin bin Haji Abu Kassim PMC – Ahli Perniagaan                                                                                         
Pengerusi : Dato’ Haji Dahalan bin Haji Aman DSNS – Bekas ADUN Kawasan Kota
Timbalan Pengerusi : Tuan Haji M. Shaker bin Edris – Pesara Tentera
Setiausaha : Ustaz Haji Mohd Khairuddin bin Haji Yusoff – Mudir Madrasah dan Guru Besar SAR Haji Ibrahim Bongek
Bendahari : Tuan Haji Othman bin Haji Ibrahim- Pesara Kerajaan

Ahli Jawatankuasa  

1. Ustaz Haji Muhamad Bin Haji Ibrahim-Pesara Guru Agama
2. Tuan Haji Saleh Bin Loyok-Pesara Guru Besar
3. Tuan Haji Hamdan bin Haji Md. Yatim – Imam Masjid Bongek
4. Tuan Haji Murtadza bin Haji Yusoff – Jurutera Awam
5. Tuan Haji Abu Bakar bin Haji Ibrahim – Bekas Penolong Pegawai Daerah
6. Tuan Haji Abdul Hamid bin Haji Mat Nor- Kontraktor Elektrik
7. Tuan Haji Ahmad bin Saadon – Pesara Kerajaan
8. Encik Mazlan bin Mohd Sharif – Usahawan
9. Encik  Ismail bin Osman – Bekerja Sendiri
10. Kekosongan – Ketua Kampung
11. Encik Md. Som bin Saleh – Pesara FELDA
12. Puan Hajah Umi Zainon binti Haji Salleh – Pesara Guru
13. Puan Hajah Ramlah binti Haji Ibrahim – Kakitangan Kerajaan
14. Puan Siti Rahmah binti Basir – Bekas Kakitangan Swasta

9. GURU-GURU MADRASAH DAN KAKITANGAN SOKONGAN

Pada masa ini, Madrasah mempunyai seramai 5 orang tenaga pengajar, iaitu:

1- Mudir Madrasah : Ustaz Haji Mohd Khairuddin bin Haji Yusoff@Saari –lulusan Diploma Al-Quran dan As-Sunnah, Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu tahun 1999 dan juga lulusan Ijazah Usuludin Bahagian Tafsir di Universiti Al-Azhar tahun 2001. Berkhidmat di madrasah semenjak tahun 2002.
2- Ustaz Mohd Homaidi bin Haji Mohd Hashim – Guru SAR Haji Ibrahim Bongek dan juga Kelas Ibtidai dan I’dadi – lulusan Madrasah Miftah al-Ulum, Sri Petaling tahun 2006. Mula berkhidmat di madrasah semenjak November tahun 2007.
3-Ustaz Muhamad Azlan bin Rusli – Guru SAR Haji Ibrahim Bongek dan juga Kelas Ibtidai dan Tahfiz - lulusan Madrasah Tahfizul Quran,Mengkuang Titi, Penanti tahun 2002 dan tamat tahun lima di Miftah al-Ulum, Sri Petaling tahun 2007. Mula berkhidmat di madrasah semenjak November tahun 2007.
4- Ustaz Mohd Faizal bin Abdullah – Guru Kelas Ibtidai - lulusan Sijil Darjah Khas,Sekolah Agama Negeri Johor Darul Ta’zim tahun 1997 dan SPM tahun 1999. Berkhidmat di madrasah mulai tahun 2007.
5- Ustaz Muhammad Afiq bin Ahmad – Guru Kelas Tahfiz dan I’dadi – lulusan tahfiz daripada Madrasah Tajwidul Quran, Saharanpur, India tahun 2001 dan juga lulusan Daurah Hadis dari Madrasah Mifathul Ulum, Sri Petaling tahun 2010. Berkhidmat di madrasah mulai tahun 2013.
6- Madrasah tengah mendapatkan seorang lagi guru berkelayakan untuk mengajar di kelas Tahfiz dan I’dadi.

Buat masa ini, urusan pentadbiran dan pengurusan madrasah dibantu oleh :
 
1. Encik Akmal Azlan bin Abdul Aziz – Kebersihan dan Pentadbiran
2. Puan Rohani binti Haji Shamsudin – Tukang Masak

10.       BENTUK YURAN PENGAJIAN YANG DIKENAKAN

Pihak madrasah mengenakan dua bentuk yuran sahaja iaitu :
i) Yuran Pendaftaran : RM 100* sahaja (meliputi kitab pengajian dan lain-lain keperluan)
ii) Yuran Bulanan : RM 200* sebulan (meliputi makan, penginapan dan saguhati guru )

*Pihak madrasah memberikan kelonggaran kepada pelajar yang kurang berkemampuan untuk membayar mengikut kadar kemampuan mereka.

11. JUMLAH PELAJAR TERKINI

Semasa profil ini ditulis, di madrasah telah pun terdapat seramai 33 orang pelajar tetap iaitu :
i) Pelajar Ibtidai : 18 orang (maksima pelajar buat masa ini adalah 28 orang)
ii) Pelajar Tahfiz :   9 orang (maksima pelajar buat masa ini adalah 16 orang)
iii) Pelajar I’dadi :   6 orang (maksima pelajar buat masa ini adalah 24 orang)

Walaupun pihak madrasah tidak menetapkan had umur pelajar di madrasah ini, namun kebanyakan pelajar adalah berumur antara 13 hingga 20 tahun.

Disediakan oleh:
Lembaga Tadbir Madrasah,
Madrasah Islamiah Haji Ibrahim,
Kampung Bongek Acheh,
71300 Rembau,
Negeri Sembilan.